Hadith Akhir Zaman
Daripada Ummul Mukminin, Zainab binti Jahsy (isteri Rasulullah s.a.w), beliau berkata: “(Pada suatu hari) Rasulullah s.a.w. masuk ke dalam rumahnya dengan keadaan cemas sambil bersabda, La ilaha illallah, celaka (binasa) bagi bangsa Arab dari kejahatan (malapetaka) yang sudah hamper menimpa mereka. Pada hari ini telah terbuka dari dinding Ya’juj dan Ma’juj seperti ini”, dan Baginda menemukan hujung ibu jari dan hujung jari sebelahnya (jari telunjuk) yang dengan itu mengisyaratkan seperti bulatan. Saya (Zainab binti Jahsy) lalu bertanya: “Ya Rasulullah ! Apakah kami akan binasa sedangkan di kalangan kami masih ada orang-orang yang soleh?”. Lalu Nabi s.a.w. bersabda “Ya, jikalau kejahatan sudah terlalu banyak”.
H.R. Bukhari Muslim
Keterangan
Hadith di atas menerangkan bahawa apabila di suatu tempat atau negeri sudah terlampau banyak kejahatan, kemungkaran dan kefasiqan. Maka kebinasaan akan menimpa semua orang yang berada di tempat itu. Tidak hanya kepada orang jahat sahaja, tetapi orang yang soleh juga akan dibinasakan. Walaupun begitu, masing-masing pada hari qiamat akan diperhitungkan mengikut amalan masing-masing.
Oleh itu, segala bentuk kemungkaran dan kefasiqan hendaklah segera dibasmikan dan segala kemaksiatan hendaklah segera dimusnahkan supaya tidak terjadi malapetaka yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang melakukan kemungkaran dan kejahatan tersebut, tetapi juga akan menimpa semua penduduk yang berada di tempat itu.
Dalam hadith di atas, walaupun disebut secara khusus tentang bangsa Arab tetapi yang dimaksudkan adalah seluruh bangsa yang ada di dunia ini. Tujuan disebutkan bangsa Arab secara khusus adalah kerana Nabi s.a.w. sendiri adalah bangsa Arab dan menerima Islam pada masa permulaannya adalah kebanyakkannya dari kalangan bangsa Arab dan sedikit sekali dari bangsa lain.
Kemudian Ya’juj dan Ma’juj pula adalah 2 bangsa (dari keturunan Nabi Adam a.s.) yang dahulunya banyak melakukan kerosakan di muka bumi ini, lalu daerah dan kediaman mereka ditutup oleh Zul Qarnain dan pengikut-pengikutnya dengan campuran besi dan tembaga, maka dengan itu mereka tidak dapat keluar. Sehinggalah hampir tibanya hari qiamat, maka pada hari itu, dinding yang kuat tadi akan hancur dan keluarlah mereka dari kediaman mereka lalu kembali melakukan kerosakan di muka bumi ini. Apabila ini terjadi, ia menandakan bahawa hari qiamat sudah dekat sekali tibanya. Masya’allah..
No comments:
Post a Comment