Saturday, March 20, 2010

Ilmu Agama Akan Beransur-ansur Hilang


Hadith Akhir Zaman
Daripada Abdullah bin Amr bin ‘ash r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Bahawasanya Allah s.w.t. tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi Allah s.w.t. menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim ulama’. Maka apabila sudah ditiadakan alim ulama’, orang ramai akan memilih orang-orang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain.”
H.R. Muslim
Keterangan
Sekarang ini bilangan alim ulama’ sudah berkurangan. Satu demi satu pergi meninggalkan kita. Kalau peribahasa Melayu mengatakan “patah tumbuh, hilang berganti”, peribahasa ini tidak tepat berlaku kepada alim ulama’. Mereka patah payah tumbuh dan hilang payah diganti. Sampailah suatu saat nanti permukaan bumi ini akan kosong tanpa alim ulama’. Maka pada hari itu, sudah tidak bererti lagi kehidupan di dunia ini lagi. Alam penuh dengan kesesatan. Manusia telah hilang pegangan hidup dan bergelumang dengan dosa (kemungkaran). Sebenarnya, alim ulama’ lah yang memberikan erti pada kehidupan manusia di muka bumi ini. Maka apabila mereka telah pupus, hilanglah segala sesuatu yang bernilai.
Di akhir-akhir ini, telah banyak peristiwa-peristiwa yang menunjukkan hampirnya zaman yang dimaksudkan Nabi s.a.w. tadi. Di mana bilangan alim ulama’ hanya tinggal sedikit dan usaha untuk melahirkannya pula tidak mendapat perhatian yang sewajarnya. Malah mungkin nisbah nya kepada manusia biasa lebih kecil berbanding nisbah doktor kepada manusia biasa. Sekolah-sekolah agama kurang mendapat perhatian golongan cerdik pandai malah anak-anak muda. Mereka mengutamakan pengajian-pengajian di bidang urusan keduniaan yang meraih keuntungan harta benda dunia semata-mata. Tidak menitikberatkan ilmu akhirat (agama). Inilah realiti kehidupan masyarakat kita pada hari ini.
Tuntutlah ilmu walaupun hingga ke liang lahad. Ilmu agama dan dunia sama-sama dituntut. Jangan hanya mementingkan ilmu dunia. Dan jangan mengharapkan orang lain untuk memenuhkan kuota alim ulama’ di muka bumi ini. Mulakanlah dengan diri anda!!

No comments:

Post a Comment

Hak Sesama Muslim

Ada 6 Hak Sesama Muslim: Rasulullah Sallallahu Alayhi Wasallam bersabda: “Hak seorang muslim terhadap sesama muslim itu ada enam: 1. Jika ka...