Hadith Akhir Zaman
Daripada Mughirah bin Syu’bah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sentiasa di kalangan kamu ada golongan yang berjaya (dalam perjuangan mereka), sehinggalah sampai suatu saat yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. Mereka sentiasa Berjaya”.
H.R. Bukhari
Keterangan
Allah s.w.t. telah menjadikan umat Islam (umat Muhammad) ini umat yang terakhir sekali. Oleh itu, Allah s.w.t. berjanji akan memelihara kitabnya (al-Quran) dan memastikan lahirnya generasi demi generasi yang akan memikul tugas dakwah hingga tetap wujudnya golongan mukminin di atas muka bumi ini. Kalau kita meneliti sejarah umat Islam mulai zaman permulaan penyebarannya hingga ke hari ini, kita akan mendapati bahawa umat Islam telah teruji sepanjang sejarah dengan ujian yang berat-berat. Ujian itu bermula dari golongan musyrikin di Mekah dan munafiqin, Yahudi dan Nasrani di Madinah, seterusnya gerakan riddah, Majusi yang berselimutkan Islam, golongan Bathiniyah, pengaruh falsafah dan pemikiran Yunani, serangan bangsa Monghol dan bangsa Tatar yang menghancurkan tamadun Baghdad pada pertengahan abad keenam Hijrah. Begitu juga dengan penyembelihan beramai-ramai kaum Muslimin ketika berlakunya kejatuhan kerajaan Islam di Andalus (Sepanyol) dan seterusnya di sambung dengan pengaruh-pengaruh imperialis Barat terhadap dunia Islam, gerakan Zionis Yahudi dan missionary Nasrani yang mempunyai peralatan dan kemudahan yang canggih-canggih dan seterusnya serangan (pengaruh) dari segi pemikiran dan kebudayaan dan sebagainya.
Walaupun ujian yang sangat dahsyat melanda umat Islam di sepanjang sejarah namun kita masih wujud dan masih lagi mempunyai identiti dan peranan yang hebat dalam peta dunia pada hari ini. Di manakah sumbangan kita? Apa peranan kita? Walaupun pada hari ini ada dalam kalangan umat Islam yang tidak mengambil berat langsung tentang agama Islam tetapi masih ada golongan yang bersungguh-sungguh untuk mempelajari dan memperjuangkan agama Islam. Walaupun ramai umat Islam yang telah hancur akhlaknya tetapi masih ada lagi golongan yang berakhlak tinggi dan berpekerti luhur. Walaupun syiar-syiar Islam diperlekahkan oleh agama-agama lain namun Islam masih lagi gagah dan teguh. Walaupun aktivis-aktivis Islam ditindas dan diseksa pada suatu tempat tetapi di suatu tempat yang lain mereka disanjung dan dihormati. Begitulah, umat Islam tidak akan lenyap dari muka bumi ini melainkan kehendak Allah s.w.t. Pada masa yang dikehendakiNya, maka lenyaplah umat Islam, pada masa itu Allah s.w.t. akan mematikan setiap jiwa yang beriman dan yang tinggal hanyalah orang-orang yang jahat dan orang kafir. Maka, pada saat itulah akan berlaku hari qiamat.
No comments:
Post a Comment