Friday, December 30, 2011

Muhasabah iman kita!

Orang mukmin yang baik itu hidupnya luar biasa. Unik dan berbeza sangat dengan manusia yang lain. Dia berhadapan dengan kehidupan penuh tenang. Kejahatan orang tidak dibalas dengan kejahatan. Bahkan didoakan orang yang membuat jahat dengannya. Berhadapan dengan ujian dia tenang. Berhadapan dengan nikmat dia bersyukur. Jadual waktunya dengan Tuhan tetap dan istiqamah. Walau di dalam keadaan susah dan senang. Bermesra dengan orang. Tetamu yang datang dihormati sesuai dengan kedudukannya. Tidak boleh mendengar orang mendapat kesusahan. Selagi tidak dapat ditolongnya, menderita jiwanya. Merendah diri adalah budaya hidupnya. Setiap orang yang meminta pertolongan jarang tidak ditunaikannya. Pemurah sangat terserlah di dalam kehidupannya. Tidak pernah mengeluh berhadapan dengan penderitaan. Tapi dia mengeluh dengan dosa-dosanya. Atau mengeluh bila berhadapan dengan kelemahan dan kecuaian. Rasa kehambaan tampak kelihatan pada mukany.a Tuhan selalu sahaja disebut-sebut di dalam perbualannya. Nampak sangat bahawa Tuhan itu adalah sandaran hidupnya. Gembira tidaklah sampai ketawa berdekah-dekah. Kesusahannya tidaklah sampai muram di mukanya. Lebih-lebih lagi tidak rasa kecewa dan putus asa berhadapan dengan kesusahannya. Tawakal, sabar dan redha adalah menjadi budaya hidupnya.

Beza antara orang Islam dan orang mukmin terlalu jauh. Kalau wujud ciri mukmin maka secara automatik ciri Islam itu wujud. Namum, kalau ciri Islam wujud pada seseorang, belum tentu ciri mukmin juga ada. Kerana itu iman perlu dicari. Iman itulah taqwa. Tidak cukup jadi orang Islam sahaja tetapi mesti menjadi orang mukmin (bertaqwa).

Iman adalah hakikat dan Islam adalah syariat. Iman bersifat rohaniah dan Islam bersifat lahiriah. Yang Tuhan akan nilai di Akhirat nanti ialah iman. Yang Tuhan akan nilai adalah hakikatnya. Hakikat bertapak pada roh atau hati. Hatilah yang Tuhan akan nilai, bukan soal-soal lahir. Namum, kedua-duanya mesti  dibuat. Tetapi keutamaannya adalah pada hati. Orang mukmin dijamin masuk Syurga sedangkan orang Islam tidak dijamin sedemikian.

Ada satu cerita di zaman Rasulullah SAW. Seorang Arab Badwi masuk Islam. Apabila bertemu dengan Rasulullah, dia berkata kepada baginda,”Wahai Rasulullah, saya sudah beriman.” Terus Rasulullah menegur,” Jangan katakan kamu sudah beriman. Katakanlah sahaja kamu sudah Islam.”

Ertinya untuk dapat iman adalah susah. Untuk menjadi Islam, itu mudah. Syahadah sahaja, sudah Islam. Di sinilah kita lihat mengapa umat Islam masih jahat walaupun ibadah banyak. Ibadah banyak menggambarkan kulit atau syariat Islam. Ibadah tidak semestinya menggambarkan iman dan taqwa.

Katalah seseorang itu sembahyangnya banyak, puasa sunatnya banyak, rajin mengaji dan berjuang tetapi dalam masa yang sama dia berbohong, rasuah, hasad dengki, tidak ada kasih sayang dan tidak pedulikan orang. Islamnya hebat. Syariatnya pun hebat. Tetapi cacatnya terlalu banyak. Itu petanda hatinya belum benar-benar beriman dan bertaqwa.

Perasaan bersalah perlu ada dalam hati tatkala begitu banyak dosa kita lakukan. Tatkala begitu banyak maksiat berlaku di sekeliling kita tanpa kita usaha mencegahnya. Beruntunglah insan bilamana sekadar hatinya benci akan perkara itu. Tulisan ini sekadar renungan bersama setelah lama mendiamkan diri. Jangan mengeluh bila begitu banyak dugaan menghimpit diri. Jadikan ia peluang untuk kita dekat padaNya. Yakinlah selangkah kita dekat padaNya, seribu langkah Dia dekat pada kita. Apabila kita merasai perasaan itu, percayalah segala dugaan itu seolah-olah tidak menggambarkan apa-apa kesusahan pun. Kembalilah, berpalinglah kepadaNya pada ketika ramai umat manusia sudah lupa akan Dia. Hanya itulah ketenangan, kebahagiaan yang abadi.

Wassalam..

Syeikh Muhammad al-Ghazali

"Seandainya kamu beribadat pada malam Lailatulqadar di hadapan Kaabah tapi kamu tak pernah mengenang nasib umat dan memperjuangkannya, maka doa dan ibadat itu tidak ada nilaian di hadapan Allah (petikan dalam buku Pemikiran Muhammad al-Ghazali Oleh Mohd Rumaizuddin)"

Umar Abdul Aziz

"Andai kamu mampu, jadilah seorang ilmuwan. Jika tidak mampu, maka jadilah seorang murid. Jika tidak mampu, jadilah orang yang mencintai ilmu. Jika tidak mampu juga, maka janganlah kamu membenci orang yang berilmu."

Pemimpin

Pemimpin yang adil umpama pengembala yang mengasihi haiwannya. Pengembala itu membawa binatang gembalaannya ke padang rumput luas dan subur. Dia menjaga binatang gembalaannya agar tidak diterkam binatang buas. Dia selalu mengawasinya agar tidak kelaparan atau kehausan. Tidak mengharap berjumpa dengan harta 'Ahmad al-Bab'. Fikir-fikirkanlah! Hari ini kita mungkin bergelar pengikut. Esok lusa mungkin kita pula bergelar pemimpin.

Iktibar Palestin

Anak Palestin gugur syahid...
Anak Melayu gugur janin...
Anak Palestin hilang keluarga sebelum berkeluarga...
Anak Melayu hilang 'mahkota' sebelum berkeluarga...
Anak Palestin maut di tembak zionis...
Anak Melayu maut atas jalanraya dek rempit...
Anak Palestin menangis pertahan agama, harta, keluarga, tempat tinggal...
Anak Melayu menangis pertahan teman lelaki/wanita dirampas orang lain...