Al-Kisah: Kau bila nak kahwin?

"Kau bila nak kahwin?"

Pak imam mencuci kolah bersamaku.

Aku cuba jawab,

"Calon-calon semua sudah dirembat oranglah, Mam. Anak pak imam pun dah nak kahwin. Cikgu tadika sebelah rumah pun macam dah berpunya je.

Redha je lah."

Pak imam menjelingku.

"Memilih sangat ni."

Aku duduk bertinggung sambil menggosok dinding kolah.

"Salah ke memilih, Mam?"

Pak imam mencedok air lalu dijirus ke tepi kolah yang disentalnya.

"Tak salah. Memang lebih baik memilih. Cuma jangan terlalu memilih. Pilihlah yang berkenan di hati. Yang hati tertarik. Ada pula ciri-ciri empat agama, keturunan, harta, rupa tu, walaupun sedikit. Alhamdulillah lah"

Aku ambil baldi, siram lantai kolah yang berkeladak setelah digosok. Biarkan kotoran keluar menuruni lubang kecil di sudut kolah.

"Kalau nak pilih yang ada rupa je, boleh?"

Pak imam bangun berdiri, kain pelekatnya sedikit basah terkena air.

"Boleh. Hak memilih tu hak kamu. Tiada larangan. Nak pilih yang seksi pun boleh, yang buka aurat pun boleh, nak yang tak suci lagi pun boleh. Yang telah couple berpuluh kali pun boleh, yang sudah terlanjur beratus kali pun boleh."

Asalkan, kau janji satu benda dengan diri sendiri.

Aku berdiri sama.

"Apa dia?"

Pak imam bersandar di tiang dekat kolah.

"Janji dengan diri, tolong jangan putus asa. Jangan putus asa berikan semangat dan keyakinan pada pasangan untuk terus berubah baik.

Memilih seseorang yang sudah hancur jiwanya, imannya, bukan semudah yang kau sangkakan. Kau terpaksa tempuhi kesabaran demi kesabaran dalam mendidiknya. Dia akan memberontak, melawan, memaki, memarahimu setiap kali kau cuba untuk pimpinnya ke arah lebih baik.

Kau tak boleh merajuk, mudah down. Tak boleh.

Kalau kau jiwa rapuh, hati touching, mudah tersentuh, kau takkan mampu mendidik pasangan. Malahan, kau pula yang akan tunduk di bawah telunjuknya.

Jangan putus asa berdoa. Di kala suami yang lain berseronok senang lenang dengan isteri solehah masing-masing, kau kena gigih bangun malam berdoa tak putus-putus supaya isteri kau diberikan hidayah, terbuka hatinya, lembut hatinya untuk berubah.

Kotoran degil bukan mudah-mudah disental seperti kolah ini.

Kau kena menangis lebih banyak di malam hari depan Allah, dan nampak tabah dan tegas di siang hari depan isterimu. Dalam tegas, ada kelembutan. Dalam kelembutan, ada ketegasan. Kau harus tahu, didikan tidak akan se-smooth yang kau fikirkan.

Term 'sama-sama berubah ke arah lebih baik' cuma fantasi kau. Kau tak akan dapat jangka dan agak apa yang ada di dalam jiwa pasangan kau. Mungkin kau saja yang ingin berubah, tapi dia cuma berkata-kata di mulut. Kau tidak tahu.

Selindungkan segala duka, sabar setinggi langit. Insya'Allah, suatu hari, setelah bertahun-tahun bertarung dan korbankan hati perasaan, berkat keikhlasan dan rahmat Allah, isteri kau nanti akan berubah.

Permata dan kaca memang berlainan. Kaca bisa melukakan. Kau akan jatuh luka berkali-kali hingga kau letih sendiri.

Tapi, bila hatinya sudah dibalikkan oleh Allah, heavenlah kau nanti.

Dia akan jadi yang terbaik, setara dengan wanita solehah di luar sana. Malahan, mungkin lebih baik. Siapa tahu.

Kau faham?"

Aku mengangguk-angguk.

Rupanya, nikah itu memang perlu agama yang terpacak kuat dalam diri sendiri. Diri seorang lelaki yang bernama suami. Andai lelaki itu sendiri agamanya tempang, agamanya layu, bagaimana nanti didikannya? Pasti rosak hancur.

Bukan agama seseorang perempuan, tapi agama seseorang lelaki itu lebih patut diutamakan.

Namun, dalam hati ini aku harap, setelah usaha penat lelah mendidik nanti, ada secebis penghargaan untuk yang bernama suami. Walaupun hanya sekadar ucapan terima kasih. Atau hanya secebis senyuman. Titis air mata suami akhirnya berbaloi, berbalas jua.

Bila orang tanya aku lagi tentang nikah, pasti akan ku jawab balik pada diri sendiri,

"Bila agama dan iman diri sendiri di aras yang sepatutnya." Baru sedia untuk nikah.......

No comments:

Post a Comment

Syeikh Muhammad al-Ghazali

"Seandainya kamu beribadat pada malam Lailatulqadar di hadapan Kaabah tapi kamu tak pernah mengenang nasib umat dan memperjuangkannya, maka doa dan ibadat itu tidak ada nilaian di hadapan Allah (petikan dalam buku Pemikiran Muhammad al-Ghazali Oleh Mohd Rumaizuddin)"

Umar Abdul Aziz

"Andai kamu mampu, jadilah seorang ilmuwan. Jika tidak mampu, maka jadilah seorang murid. Jika tidak mampu, jadilah orang yang mencintai ilmu. Jika tidak mampu juga, maka janganlah kamu membenci orang yang berilmu."

Pemimpin

Pemimpin yang adil umpama pengembala yang mengasihi haiwannya. Pengembala itu membawa binatang gembalaannya ke padang rumput luas dan subur. Dia menjaga binatang gembalaannya agar tidak diterkam binatang buas. Dia selalu mengawasinya agar tidak kelaparan atau kehausan. Tidak mengharap berjumpa dengan harta 'Ahmad al-Bab'. Fikir-fikirkanlah! Hari ini kita mungkin bergelar pengikut. Esok lusa mungkin kita pula bergelar pemimpin.

Iktibar Palestin

Anak Palestin gugur syahid...
Anak Melayu gugur janin...
Anak Palestin hilang keluarga sebelum berkeluarga...
Anak Melayu hilang 'mahkota' sebelum berkeluarga...
Anak Palestin maut di tembak zionis...
Anak Melayu maut atas jalanraya dek rempit...
Anak Palestin menangis pertahan agama, harta, keluarga, tempat tinggal...
Anak Melayu menangis pertahan teman lelaki/wanita dirampas orang lain...