Monday, April 26, 2010

Zaman Di Mana Orang Tak Pedulikan Dari Mana Mendapatkan Harta


Hadith Akhir Zaman
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w.: “Akan datang suatu zaman seseorang tidak mempedulikan dari mana ia mendapatkan harta, apakah dari sumber yang halal atau pun yang haram”.
H.R. Ibnu Majah
Keterangan
Pada zaman sekarang ini, merupakan zaman ketandusan rohani dan zaman materialism, segala sesuatu adalah bernilai dengan nilai harta. Manusia cakar mencakar untuk memperolehi sebanyak mungkin harta kekayaan. Mereka tidak mempedulikan dari mana datangnya harta yang diperolehi, apakah dari sumber yang halal atau sumber yang haram. Yang penting, harta dapat dikumpulkan sebanyak-banyaknya untuk memenuhi tuntutan nafsu, isteri atau anak-anak mereka.
Berdoalah moga-moga Allah s.w.t. menyelamatkan kita dan ahli keluarga kita dari tergolong dalam kalangan mereka yang dimaksudkan tadi.

Sunday, April 18, 2010

Orang Yang Baik Berkurangan Sedang Yang Jahat Bertambah Banyak


Hadith Akhir Zaman
Daripada Aisyah r.a. berkata: “Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak akan berlaku hari qiamat sehingga anak seseorang menjadi punca kemarahan (bagi ibu bapanya) dan hujan akan menjadi panas (hujan akan berkurang dan cuaca akan menjadi panas) dan akan bertambah ramai orang yang tercela dan akan berkurangan orang yang baik, dan anak-anak menjadi berani melawan orang-orang tua dan orang jahat berani melawan orang-orang baik”.
H.R. Thabrani
Keterangan
Di antara tanda-tanda qiamat adalah:-
  1. Bila anak-anak merupakan punca kemarahan orang tuanya.
  2. Bila hujan berkurangan, cuaca menjadi panas dan udara telah tercemar.
  3. Orang jahat bertambah ramai dan galakan membuat kejahatan sangat banyak.
  4. Orang yang berbuat kebaikan sedikit dan tidak mendapat kemudahan yang sewajarnya.
  5. Anak-anak sudah berani melawan orang tua.
  6. Orang-orang jahat berani melawan orang-orang yang baik dan tidak segan terhadap mereka.
Nampaknya corak masyarakat kita pada hari ini tidak banyak bezanya dari apa yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w. tadi. Setiap hari kita dapat lihat kebenaran daripada apa yang disabdakan oleh Nabi s.a.w.
Berdoalah moga-moga Allah s.w.t. menyelamatkan kita dan ahli keluarga kita dari tergolong dalam kalangan mereka yang dimaksudkan tadi.

Mengapa menangis?


Suatu hari, seorang anak bertanya kepada ibunya, "Ibu, mengapa ibu menangis?" Ibunya menjawab, "Sebab ibu adalah perempuan, nak." "Saya tidak mengerti ibu," kata si anak. Ibunya hanya tersenyum dan memeluknya erat. "Nak, kau memang tak akan mengerti…"

Kemudian si anak bertanya kepada ayahnya. "Ayah, mengapa ibu menangis?" "Ibumu menangis tanpa sebab yang jelas," sang ayah menjawab. "Semua perempuan memang sering menangis tanpa alasan."

Si anak membesar menjadi remaja, dan dia tetap terus bertanya-tanya, mengapa perempuan menangis? Hingga pada suatu malam, dia bermimpi dan bertanya kepada Tuhan, "Ya Allah, mengapa perempuan mudah menangis?" Dalam mimpinya dia merasa seolah-olah mendengar jawapannya:

"Saat Ku ciptakan wanita, Aku membuatnya menjadi sangat utama. Kuciptakan bahunya, agar mampu menahan seluruh beban dunia dan isinya, walaupun juga bahu itu harus cukup nyaman dan lembut untuk menahan kepala bayi yang sedang tertidur.

"Kuberikan wanita kekuatan untuk dapat melahirkan bayi dari rahimnya, walau kerap berulangkali menerima cerca dari si bayi itu apabila dia telah membesar.

"Kuberikan keperkasaan yang akan membuatnya tetap bertahan, pantang menyerah saat semua orang sudah putus asa.

"Ku berikan kesabaran jiwa untuk merawat keluarganya walau dia sendiri letih, walau sakit, walau penat, tanpa berkeluh kesah.

"Kuberikan wanita perasaan peka dan kasih sayang untuk mencintai semua anaknya dalam apa jua keadaan dan situasi. Walau acapkali anak-anaknya itu melukai perasaan dan hatinya. Perasaan ini pula yang akan memberikan kehangatan pada anak- anak yang mengantuk menahan lelap. Sentuhan inilah yang akan memberikan kenyamanan saat didakap dengan lembut olehnya.

"Kuberikan wanita kekuatan untuk membimbing suaminya melalui masa-masa sukar dan menjadi pelindung baginya. Sebab tulang rusuk yang melindungi setiap hati dan jantung agar tak terkoyak.
"Kuberikan kepadanya kebijaksanaan dan kemampuan untuk memberikan pengertian dan menyedarkan bahawa suami yang baik adalah yang tidak pernah melukai isterinya. Walau seringkali pula kebijaksanaan itu akan menguji setiap kesetiaan yang diberikan kepada suami agar tetap berdiri sejajar, saling melengkapi dan saling menyayangi.

"Dan akhirnya, Kuberikan wanita air mata, agar dapat mencurahkan perasaannya. Inilah yang khusus kepada wanita, agar dapat dia gunakan bila-bila masa pun dia inginkan. Ini bukan kelemahan bagi wanita, kerana sebenarnya air mata ini adalah "air mata kehidupan."

Hargailah mereka yang perlu dihargai...dengan sentiasa menyenangkan dan mendoakan keselamatan, kesejahteraan dan kebahagiaan mereka di dunia dan akhirat.

Saturday, April 10, 2010

Sifat Amanah Akan Hilang Sedikit Demi Sedikit


Hadith Akhir Zaman
Daripada Huzaifah bin Al-Yaman r.a. katanya: “Rasulullah s.a.w. pernah memberitahu kami dua buah hadith (mengenai dua kejadian yang akan berlaku). Yang pertama sudah saya lihat sedang yang kedua saya menanti-nantikannya. Rasulullah s.a.w. memberitahu bahawasanya amanat itu turun ke dalam lubuk hati orang-orang yang tertentu. Kemudian turunlah al-Quran. Maka orang-orang itu lalu mengetahuinya melalui panduan as-sunnah. Selanjutnya Rasulullah s.a.w. menceritakan kepada kami tentang hilangnya amanah, lalu beliau bersabda, “Seseorang itu tidur, sekali tidur lalu diambillah amanah itu dari dalam hatinya, kemudian tertinggallah bekasnya seperti bekas yang ringan sahaja. Kemudian ia tertidur pula, lalu diambillah amanah dari dalam hatinya, maka tinggallah bekasnya seperti lepuh di tangan (menggelembung di tangan dari bekas bekerja berat seperti menggunakan kapak atau cangkul). Jadi seperti bara api yang kau gilingkan dengan kakimu, kemudian menggelembunglah ia dan engkau melihat ia meninggi, padahal tidak ada apa-apa”. Di ketika itu, Rasululluah s.a.w. menceritakan hadith ini baginda mengambil sebiji batu kecil (batu kerikil) lalu menggilingkannya dengan kakinya.
“Kemudian berpagi-pagi (jadilah) orang ramai berjual beli, maka hampir sahaja tiada seorang juga pun yang suka menunaikan amanah, sampai dikatakan di kalangan Bani Fulan (di kampung tertentu) itu ada seorang yang sangat baik memegang amanah, sangat terpercaya dan orang ramai mengatakan, “Alangkah tekunnya dalam bekerja, alangkah indahnya pekerjaannya, alangkah pula cerdik otaknya. Padahal di dalam hatinya sudah tiada lagi keimanan sekalipun hanya seberat timbangan biji sawi”.
“Maka sesungguhnya telah sampai masanya, saya pun tidak mempedulikan manakah di antara kamu semua yang saya hendak bermubaya’ah (berjual beli). Jikalau seorang Islam, maka agamanyalah yang akan mengembalikan kepadaku (maksudnya agamanyalah yang dapat menahannya dari khianat. Dan jikalau ia seorang Nasrani atau Yahudi maka orang yang memegang kekuasaan/pemerintahnyalah yang dapat membantu aku untuk mendapatkan semula hak-hakku daripadanya). Adapun pada hari itu, maka saya tidak pernah berjual beli dengan kamu semua kecuali dengan Fulan dan Fulan (orang-orang tertentu sahaja)”.
H.R. Bukhari Muslim
Keterangan
Hadith ini menunjukkan bahawa sifat amanah akan hilang secara beransur-ansur dari kalangan kaum Muslimin, sehinggalah sampai suatu masa nanti orang-orang yang dianggap baik untuk menjaga amanah pun telah berlaku khianat juga.

Wednesday, April 7, 2010

Meraih Cinta Redha Ilahi [dari Nor Shamsinor]

Dalam meraih cinta yang diredhai Allah s.w.t., beberapa tip dinyatakan sebagai panduan agar cinta yang diberikan dan yang menerima cinta tidak tersasar daripada matlamat serta tujuan dalam ‘alam percintaan’. Antaranya:-


  
1.      Pastikan setiap luahan cinta itu dibina atas dasar cinta kepada Allah s.w.t.

Meletakkan cinta kepada Allah s.w.t., bukanlah penghalang bagi mereka meluahkan cinta kepada yang lain. Dengan erti kata lain, jika anda mencintai seseorang kerana Allah s.w.t., anda pasti akan lebih bertanggungjawab serta sebaik mungkin menjaga maruah diri dan agama daripada dicemari dengan noda-noda maksiat.

2.      Pastikan cinta yang diraih sama sekali tidak melanggar batas-batas syarat.

Ramai manusia terlupa bahawa cinta itu sering dikaitkan dengan kebiasaan yang berlaku. Maksudnya, apabila perasaan cinta sudah mula terjalin, maka mereka boleh melakukan apa sahaja termasuk berjumpa secara berdua-duaan yang ternyata ia salah di sisi syariat. Sebaik-baiknya perhubungan cinta itu tidak menjurus seseorang itu kepada dosa yang akhirnya membawa kepada kemusnahan diri.

3.      Ubah persepsi cinta itu sebagai satu budaya sebelum perkahwinan.

Ramai beranggapan cinta sebelum kahwin adalah prasyarat yang perlu ada sebelum seseorang mendirikan mahligai perkahwinan. Persepsi itu tidak benar. Sebaliknya, kebahagiaan dan keserasian dalam membina rumah tangga turut berlandaskan kepada keperluan ilmu yang membentuk seseorang  untuk lebih bertanggungjawab. Cinta yang hadir adalah sebagai satu ikatan yang boleh mengeratkan keintiman hubungan suami dan isteri.

4.      Lakukan solat istikharah dan banyakkan berdoa sebelum membuat keputusan.

Ramai pasangan yang bercinta sering mengabaikan dua aspek penting yang menjadi penentu kepada kebahagiaan rumah tangga. Tidak dinafikan adakalanya cinta yang dikuasai oleh nafsu membuatkan seseorang itu alpa. Justeru, Islam menyarankan agar banyakkan berdoa dalam usaha memohon petunjuk kepada Allah s.w.t agar pilihan yang dibuat adalah pilihan yang tepat. Antara doa yang disarankan ialah:

“Ya Allah, Kurniakanlah aku cintaMu dan cinta orang yang cinta kepadaMu dan cinta orang yang cinta kepada orang yang boleh hampir kepadaMu dan jadikanlah cinta terhadap Engkau (Ya Allah) terlebih aku cintai daripada air yang sejuk.”

Dalam masa yang sama, solat istikharah juga perlu dilakukan bagi memastikan pasangan yang dipilih tidak akan mengecewakan kehidupan yang dibina. Lantas sebaik mengerjakan solat istikharah, doa berikut disarankan:

“Ya Allah, aku suka orang ini, kalaulah dia ini betul-betul pilihan yang tepat untuk aku dunia akhirat, pertemukanlah jodoh kami. Jadikanlah dia isteri  (atau suami) ku. Kalau tidak baik, ya Allah, elakkanlah.”

5.      Seseorang yang mencari cinta, Islam menyarankan agar empat perkara yang ditetapkan dijadikan sebagai keutamaan.

Antaranya, sebagaimana sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud,

“Dikahwini wanita itu atas empat perkara: Harta, Keturunan, Rupa dan Agama. Kahwinilah atas dasar Agama nescaya kamu akan mendapat kebajikan.”

Agama memainkan peranan penting dalam menentukan kebahagiaan rumah tangga. Tanpa pegangan agama yang utuh, pasangan akan lupa tanggungjawab mereka bukan sahaja sebagai suami, ayah, isteri, ibu mahupun tanggungjawab sebagai anggota masyarakat. Bahkan tanpa agama, anak-anak akan membesar dalam situasi yang tiada pegangan hidup lantas mudah dipengaruhi dengan anasir-anasir negative yang  membawa kepada gejala sosial.

Friday, April 2, 2010

Kenali Tuhan Kita : Baqa'


Baqa’ ertinya kekal
Sifat kekal pada Allah tidak sama dengan sifat kekal pada makhluk. Sifat kekal Allah tiada kesudahan sedangkan pada makhluk pasti ada kesudahannya.

Katakanlah: "Aku tidak berkuasa mendatangkan kemudharatan dan tidak (pula) kemanfaatan kepada diriku, melainkan apa yang dikehendaki Allah." Tiap-tiap umat mempunyai ajal. Apabila telah datang ajal mereka, maka mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak (pula) mendahulukan(nya).
 (Surah Yunus: 49)

Dan tidaklah taubat itu diterima Allah dari orang-orang yang mengerjakan kejahatan (yang) hingga apabila datang ajal kepada seseorang di antara mereka, (barulah) ia mengatakan : "Sesungguhnya saya bertaubat sekarang." Dan tidak (pula diterima taubat) orang-orang yang mati sedang mereka di dalam kekafiran. Bagi orang-orang itu telah Kami sediakan siksa yang pedih. 
(Surah An-Nisaa' : 18)

Bertaubatlah sementara nyawa di kandung badan, selagi nadi masih berdenyut, selagi jantung masih berdegup, selagi  pintu taubat masih terbuka luas...


Bahaya Kemewahan


Hadith Akhir Zaman
Daripada Ali bin Abi Thalib r.a.: “Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah s.a.w. di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus’ab bin Umair r.a. dan tiada di atas badannya kecuali sehelai selendang yang bertampung dengan kulit. Tatkala Rasulullah s.a.w. melihat kepadanya Baginda menangis dan menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan Mus’ab ketika berada di Mekah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh ibunya) dan kerana memandang nasib Mus’ab sekarang (ketika berada di Madinah sebagai seorang Muhajirin yang terpaksa meninggalkan segala harta benda dan kekayaan di Mekah). Kemudian Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, “Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi di waktu pagi dengan satu pakaian, dan pergi di waktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan bila diangkatkan satu hidangan diletakkan pula satu hidangan yang lain. Dan kamu menutupi (menghias) rumah kamu seperti mana kamu memasang kelambu Ka’bah?”. Maka jawab sahabat, “Wahai Rasulullah, tentunya pada waktu itu kami lebih baik daripada hari ini. Kami akan memberikan penumpuan kepada masalah ibadat sahaja dan tidak usah mencari rezeki.” Lalu Nabi s.a.w. bersabda, “Tidak! Keadaan kamu pada hari ini adalah lebih baik daripada keadaan kamu pada hari itu.”
H.R. Tirmizi
Keterangan
Dalam hadith ini Nabi s.a.w. menerangkan bahawa umatnya pada suatu ketika kelak akan mendapat kekayaan dan kelapangan dalam kehidupan. Pagi petang pakaian silih berganti. Hidangan makanan tak putus-putus. Rumah-rumah mereka tersergam indah dan dihiasi dengan bermacam-macam hiasan. Dalam keadaan sedemikian kita juga mungkin akan berkata seperti para sahabat. Di mana, kalau semuanya sudah sempurna, maka senanglah hendak melakukan ibadah. Tetapi Nabi s.a.w. mengatakan, “Keadaan serba kekurangan itu adalah lebih baik untuk kita”, ertinya lebih memungkinkan kita untuk beribadah.
Kemewahan hidup banyak menghalang seseorang dari melakukan ibadah kepada Allah s.w.t., sepertimana yang berlaku pada hari ini. Segala yang kita miliki walaupun tidak melebihi keperluan, namun ianya sudah mencukupi. Tetapi bila dibandingkan dengan para sahabat, kita sudah jauh lebih mewah daripada mereka, sedangkan ibadat kita sangat jauh ketinggalan. Kekayaan dan kemewahan yang ada, selalu menyibukkan kita dan menghalang dari melakukan ibadah. Kita sibuk menghimpun harta dan juga sibuk menjaganya serta sibuk untuk menambahnya lagi. Tidak ubah seperti apa yang disabdakan Nabi s.a.w., “Seandainya seorang anak Adam a.s. itu telah mempunyai satu jurang emas, dia berhasrat untuk mencari jurang yang kedua, sehinggalah ia dimasukkan ke dalam tanah (menemui kematiannya).
Bagitulah gambaran yang sebenar terhadap kehalobaan manusia dalam menghimpun harta kekayaan. Ia sentiasa mencari dan menambah, sehinggalah ia menemui kematian. Maka ketika itu, barulah ia sedar diri dengan seribu penyesalan. Tetapi saat itu, tidak berguna lagi penyesalan. Janganlah lupa daratan dalam mencari harta kekayaan. Tidak kira halal atau yang haram, yang penting dapat harta. Tidak kira waktu sembahyang, bahkan semua waktu digunakan untuk mengumpul harta. Biarlah kita mencari harta dunia pada batas-batas keperluan. Kalau berlebihan gunalah untuk menolong orang lain yang kurang bernasib baik, suka menderma dan suka bersedekah, sebagai simpanan untuk hari akhirat kelak. Orang bijak adalah orang yang mempunyai perhitungan untuk masa akhiratnya dan ia menjadikan dunia tempat bertanam dan akhirat tempat memetik buahnya.

Hak Sesama Muslim

Ada 6 Hak Sesama Muslim: Rasulullah Sallallahu Alayhi Wasallam bersabda: “Hak seorang muslim terhadap sesama muslim itu ada enam: 1. Jika ka...