Dalam meraih cinta yang diredhai Allah s.w.t., beberapa tip dinyatakan sebagai panduan agar cinta yang diberikan dan yang menerima cinta tidak tersasar daripada matlamat serta tujuan dalam ‘alam percintaan’. Antaranya:-
1. Pastikan setiap luahan cinta itu dibina atas dasar cinta kepada Allah s.w.t.
Meletakkan cinta kepada Allah s.w.t., bukanlah penghalang bagi mereka meluahkan cinta kepada yang lain. Dengan erti kata lain, jika anda mencintai seseorang kerana Allah s.w.t., anda pasti akan lebih bertanggungjawab serta sebaik mungkin menjaga maruah diri dan agama daripada dicemari dengan noda-noda maksiat.
2. Pastikan cinta yang diraih sama sekali tidak melanggar batas-batas syarat.
Ramai manusia terlupa bahawa cinta itu sering dikaitkan dengan kebiasaan yang berlaku. Maksudnya, apabila perasaan cinta sudah mula terjalin, maka mereka boleh melakukan apa sahaja termasuk berjumpa secara berdua-duaan yang ternyata ia salah di sisi syariat. Sebaik-baiknya perhubungan cinta itu tidak menjurus seseorang itu kepada dosa yang akhirnya membawa kepada kemusnahan diri.
3. Ubah persepsi cinta itu sebagai satu budaya sebelum perkahwinan.
Ramai beranggapan cinta sebelum kahwin adalah prasyarat yang perlu ada sebelum seseorang mendirikan mahligai perkahwinan. Persepsi itu tidak benar. Sebaliknya, kebahagiaan dan keserasian dalam membina rumah tangga turut berlandaskan kepada keperluan ilmu yang membentuk seseorang untuk lebih bertanggungjawab. Cinta yang hadir adalah sebagai satu ikatan yang boleh mengeratkan keintiman hubungan suami dan isteri.
4. Lakukan solat istikharah dan banyakkan berdoa sebelum membuat keputusan.
Ramai pasangan yang bercinta sering mengabaikan dua aspek penting yang menjadi penentu kepada kebahagiaan rumah tangga. Tidak dinafikan adakalanya cinta yang dikuasai oleh nafsu membuatkan seseorang itu alpa. Justeru, Islam menyarankan agar banyakkan berdoa dalam usaha memohon petunjuk kepada Allah s.w.t agar pilihan yang dibuat adalah pilihan yang tepat. Antara doa yang disarankan ialah:
“Ya Allah, Kurniakanlah aku cintaMu dan cinta orang yang cinta kepadaMu dan cinta orang yang cinta kepada orang yang boleh hampir kepadaMu dan jadikanlah cinta terhadap Engkau (Ya Allah) terlebih aku cintai daripada air yang sejuk.”
Dalam masa yang sama, solat istikharah juga perlu dilakukan bagi memastikan pasangan yang dipilih tidak akan mengecewakan kehidupan yang dibina. Lantas sebaik mengerjakan solat istikharah, doa berikut disarankan:
“Ya Allah, aku suka orang ini, kalaulah dia ini betul-betul pilihan yang tepat untuk aku dunia akhirat, pertemukanlah jodoh kami. Jadikanlah dia isteri (atau suami) ku. Kalau tidak baik, ya Allah, elakkanlah.”
5. Seseorang yang mencari cinta, Islam menyarankan agar empat perkara yang ditetapkan dijadikan sebagai keutamaan.
Antaranya, sebagaimana sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud,
“Dikahwini wanita itu atas empat perkara: Harta, Keturunan, Rupa dan Agama. Kahwinilah atas dasar Agama nescaya kamu akan mendapat kebajikan.”
Agama memainkan peranan penting dalam menentukan kebahagiaan rumah tangga. Tanpa pegangan agama yang utuh, pasangan akan lupa tanggungjawab mereka bukan sahaja sebagai suami, ayah, isteri, ibu mahupun tanggungjawab sebagai anggota masyarakat. Bahkan tanpa agama, anak-anak akan membesar dalam situasi yang tiada pegangan hidup lantas mudah dipengaruhi dengan anasir-anasir negative yang membawa kepada gejala sosial.
No comments:
Post a Comment