Friday, April 2, 2010

Bahaya Kemewahan


Hadith Akhir Zaman
Daripada Ali bin Abi Thalib r.a.: “Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah s.a.w. di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus’ab bin Umair r.a. dan tiada di atas badannya kecuali sehelai selendang yang bertampung dengan kulit. Tatkala Rasulullah s.a.w. melihat kepadanya Baginda menangis dan menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan Mus’ab ketika berada di Mekah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh ibunya) dan kerana memandang nasib Mus’ab sekarang (ketika berada di Madinah sebagai seorang Muhajirin yang terpaksa meninggalkan segala harta benda dan kekayaan di Mekah). Kemudian Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, “Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi di waktu pagi dengan satu pakaian, dan pergi di waktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan bila diangkatkan satu hidangan diletakkan pula satu hidangan yang lain. Dan kamu menutupi (menghias) rumah kamu seperti mana kamu memasang kelambu Ka’bah?”. Maka jawab sahabat, “Wahai Rasulullah, tentunya pada waktu itu kami lebih baik daripada hari ini. Kami akan memberikan penumpuan kepada masalah ibadat sahaja dan tidak usah mencari rezeki.” Lalu Nabi s.a.w. bersabda, “Tidak! Keadaan kamu pada hari ini adalah lebih baik daripada keadaan kamu pada hari itu.”
H.R. Tirmizi
Keterangan
Dalam hadith ini Nabi s.a.w. menerangkan bahawa umatnya pada suatu ketika kelak akan mendapat kekayaan dan kelapangan dalam kehidupan. Pagi petang pakaian silih berganti. Hidangan makanan tak putus-putus. Rumah-rumah mereka tersergam indah dan dihiasi dengan bermacam-macam hiasan. Dalam keadaan sedemikian kita juga mungkin akan berkata seperti para sahabat. Di mana, kalau semuanya sudah sempurna, maka senanglah hendak melakukan ibadah. Tetapi Nabi s.a.w. mengatakan, “Keadaan serba kekurangan itu adalah lebih baik untuk kita”, ertinya lebih memungkinkan kita untuk beribadah.
Kemewahan hidup banyak menghalang seseorang dari melakukan ibadah kepada Allah s.w.t., sepertimana yang berlaku pada hari ini. Segala yang kita miliki walaupun tidak melebihi keperluan, namun ianya sudah mencukupi. Tetapi bila dibandingkan dengan para sahabat, kita sudah jauh lebih mewah daripada mereka, sedangkan ibadat kita sangat jauh ketinggalan. Kekayaan dan kemewahan yang ada, selalu menyibukkan kita dan menghalang dari melakukan ibadah. Kita sibuk menghimpun harta dan juga sibuk menjaganya serta sibuk untuk menambahnya lagi. Tidak ubah seperti apa yang disabdakan Nabi s.a.w., “Seandainya seorang anak Adam a.s. itu telah mempunyai satu jurang emas, dia berhasrat untuk mencari jurang yang kedua, sehinggalah ia dimasukkan ke dalam tanah (menemui kematiannya).
Bagitulah gambaran yang sebenar terhadap kehalobaan manusia dalam menghimpun harta kekayaan. Ia sentiasa mencari dan menambah, sehinggalah ia menemui kematian. Maka ketika itu, barulah ia sedar diri dengan seribu penyesalan. Tetapi saat itu, tidak berguna lagi penyesalan. Janganlah lupa daratan dalam mencari harta kekayaan. Tidak kira halal atau yang haram, yang penting dapat harta. Tidak kira waktu sembahyang, bahkan semua waktu digunakan untuk mengumpul harta. Biarlah kita mencari harta dunia pada batas-batas keperluan. Kalau berlebihan gunalah untuk menolong orang lain yang kurang bernasib baik, suka menderma dan suka bersedekah, sebagai simpanan untuk hari akhirat kelak. Orang bijak adalah orang yang mempunyai perhitungan untuk masa akhiratnya dan ia menjadikan dunia tempat bertanam dan akhirat tempat memetik buahnya.

No comments:

Post a Comment

Hak Sesama Muslim

Ada 6 Hak Sesama Muslim: Rasulullah Sallallahu Alayhi Wasallam bersabda: “Hak seorang muslim terhadap sesama muslim itu ada enam: 1. Jika ka...