(sambungan dari entry sebelum ini..)
Seterusnya Al Allamah Ibnu Hajar menambah::
Telah meriwayatkan oleh Abi Daud bahawa Nabi (صلى الله عليه وسلم) memandubkan (yakni sunat) berpuasa di BULAN-BULAN HARAM (yakni bulan-bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam, dan Rejab). Padahal Rejab adalah sebahagian dari bulan-bulan Haram.
Riwayat dari Abi Daud dan lain-lainnya, dari Urwah, bahawa beliau telah bertanya Abdullah bin Umar (رضى الله عنها) ::
“Adakah Rasululah (صلى الله عليه وسلم) berpuasa dibulan Rejab?
Beliau menjawab:
“Ya dan baginda melebihkannya.”
Ibnu Umar mengatakannya sampai tiga kali.
Dan sesungguhnya Abu Qilabah telah meriwayatkan::
“Sesungguhnya dalam Syurga ada sebuah mahligai bagi sesiapa yang berpuasa di bulan Rejab”.
Imam Al Baihaqi mengulas “Abu Qilabah salah seorang Tabi’in yang tidak akan berkata mengenainya melainkan diambilnya dari seorang Penyampai (Sahabat).” Maka tsabitlah sunat berpuasa di bulan Rejab, bukan makruh. Sesungguhnya pendapat yang mengatakan ianya makruh juga adalah fasid (yakni batal) bahkan salah (yakni tidak betul) sebagaimana yang telah engkau ketahui kelebihan/fadhilat puasa Sya’ban, padahal puasa Rejab terlebih afdhal darinya. Kerana seafdhal-afdhal bulan selepas Ramadhan ialah Bulan Muharam, kemudian baki-baki bulan Haram, akhirnya barulah Sya’ban.
Ulasan:
Sebahagian manusia mengatakan Nabi (صلى الله عليه وسلم) tidak pernah berpuasa Rejab. Tidak ada nash berpuasa Rejab. Lantaran itu (menurut mereka) haram dan bid’ah puasa Rejab, atau segolongan yang lain mengatakannya makruh. Menurut mereka, kalau kita berkepercayaan Nabi (صلى الله عليه وسلم) ada berpuasa di bulan Rejab, maka haram sebab dusta kepada Nabi (صلى الله عليه وسلم). Ataupun menurut segolongan lagi dari mereka, kalau hendak buat juga tapi mengkhususkan niat puasa bulan Rejab maka makruh sebab (kununnya) tak ada dalil hadits yang terang.
Sebenarnya semua kenyataan tersebut salah. Jikalau pihak berkenaan menafikan Nabi (صلى الله عليه وسلم) pernah berpuasa Rejab dengan sebab tidak kerana kejahilan pihak berkenaan, maka hendaklah mereka bertaubat. Kalau sengaja-sengaja berbuat dusta dan kacau-bilau dalam soal kefahaman agama, maka pihak Kerajaan mestilah mengambil tindakan.
Cuba kita lihat satu hadits yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di bawah perenggan ini nanti, iaitu satu lagi hadits yang mana tidak disangsikan lagi akan keshahihannya. Yang sangsi adalah mereka yang di dalam hati berpenyakit seperti seolah-olah mereka ini gila dunia dan kemasyhuran, sedangkan diri mereka nampaknya bukanlah orang yang layak memperkatakan soal agama yang sedemikian rupa. Seperti juga keadaannya penyakit yang sudah ditimpakan kepada:
- golongan yang anti-ulama’ (seperti menafikan autoriti dan keilmuan ulama’ dengan mengatakan tiada ”priest” dalam Islam, yang mana di sini mereka jelas menyamakan agama ini dengan agama sesat seperti Kristian dan Yahudi yang mempunyai “priest” ataupun “Rabbi” mereka), ataupun
- golongan anti Ahli Sunnah, dan juga
- golongan anti Mazhab (yang menyatakan siapapun layak bercakap soal agama khususnya dalam hal ehwal fundamental TANPA ilmu yang mencukupi di mana cakapan mereka disebarluaskan kepada orang ramai, bukannya terhad untuk kegunaan diri mereka sendiri yang bermasalah itu).
Mudah-mudahan dijauhkan kiranya oleh Allah Ta’ala akan kita semua daripada tipudaya dan kerosakan serta kesesatan kefahaman Islam yang timbul pada golongan-golongan ini. [نعوذ بالله من ذلك].
Usman bin Hakam Al Ansori berkata::
”Saya telah bertanya Sa’id bin Jubair berkenaan puasa Rejab sedangkan kami ketika itu masih berada di bulan Rejab.”
Beliau (Sa’id ) menjawab:
”Saya telah mendengar Ibnu Abbas (رضى الله عنها) berkata: Adalah Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) berpuasa sehingga kami mengatakan (menyangka) baginda tidak berbuka (tidak berhenti puasa), dan baginda berbuka sehingga kami mengatakan (menyangka) baginda tidak berpuasa“. – Riwayat Muslim.
Terang dan jelas dalam hadits ini yang mana menunjukan bahawa Nabi (صلى الله عليه وسلم) berpuasa Rejab, dan mereka yang mengatakan bahawa Nabi tidak pernah berbuatnya adalah dusta.
Kalau mereka berkata:
”Aah itu hadits yang menunjukan harus puasa di bulan Rejab, bukannya sunat. Memang dibolehkan jika berpuasa tanpa mengaitkan bulan Rejab. Sebab dalilnya hanya bersandarkan dalil yang umum akan hadits Shahih riwayat Muslim tersebut.”
Jawabnya:
Lihatlah bagaimana mereka cuba berpusing-pusing. Mula–mula mereka mengatakan tidak sunat puasa Rejab sebab tak ada dalil Nabi (صلى الله عليه وسلم) puasa padanya. Kemudian berdalih pula mengatakan hadits Muslim tersebut menunjukkan hanya hukum harus bukan hukum sunat sebagaimana yang disepakati oleh jumhur ulama kaum Muslimin.
Lihatlah akan Syarah/Keterangan hadits tersebut dalam Kitab Syarah Muslim 8, ms 38-39, cetakan Daarul Syaqafah:
Bab: “Berpuasa Nabi (صلى الله عليه وسلم) di bulan yang selain bulan Ramadhan”.
Maksudnya::
“Yang dzahir, bahawa maksud Sa’id bin Jubair dengan istidlal (pengambilan hukum) dengan hadits ini bahawa puasa Rejab tidak ditegah dan tidak disunatkan berdasarkan hadits ini untuk ain (yakni diri atau perkara) puasa Rejab itu.
Bahkan sebaliknya bagi puasa Rejab (iaitu) sama hukumnya dengan hukum selebihnya bulan-bulan (yakni dengan hukum puasa di bulan-bulan haram). Tidak tsabit pada berpuasa Rejab tegahan dan tidak “tidak sabit” nadab (sunat ) bagi diri Rejab , tetapi asal hukum berpuasa Rejab adalah disunatkan.
Di dalam Sunan Abi Daud (disebutkan) bahawa Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) men-sunat-kan berpuasa di bulan-bulan Haram. Padahal Rejab adalah salah satu dari bulan-bulan Haram. Wallahu a’lam”.
Maksud sebenar keterangan Imam Nawawi sebagaimana yang ditulis beliau dalam kitab Syarah Muslim karangannya itu adalah hanya sanya dalil ”Kesunatan Rejab” tidak berdalilkan dengan ain/diri hadits tersebut. Bukan menafikan ”Kesunatan berpuasa di bulan Rejab”. Perhatikan baik-baik perkara ini.
Memang, berdasarkan hadits tersebut kita dapat fahamkan:
1) Nabi (صلى الله عليه وسلم) pernah berpuasa di bulan Rejab. Menafikannya sebagai tidak pernah berpuasa di bulan Rejab dan tiada sunnahnya berpuasa di bulan Rejab adalah satu pembohongan yang mentah-mentah mesti ditolak oleh mereka yang mengerti.
2) Hadits tersebut dilalahnya menunjukan harus berpuasa di bulan Rejab. Bukan sunat, bukan juga makruh, dan barang dijauhi akan ke-haram-annya.
3) Sekalipun hadits tersebut tidak menjadi ain/diri dalil kesunatan berpuasa Rejab, tetapi berpuasa di bulan Rejab tetaplah juga hukum nya sunat berdasarkan Hadits-hadits Shahih yang mentsabitkan puasa di bulan Haram. Misalnya adalah hadits riwayat Imam Ibnu Khuzaimah yang disebutkan sebelum ini dan hadits riwayat Imam Abu Daud yang juga telah meriwayatkan “Seafdhal-afdhal puasa adalah puasa di bulan-bulan Haram”.
Sebagai penjelasan, Imam Nawawi menyebut “Ashlu Shaum mandubun ilaih” yang mana maksudnya ” asal hukum berpuasa adalah mandub, iaitu disunatkan”. Ditahqiqkan dengan kenyataan “bulan Rajab adalah salah satu daripada Tadhamun kepada makna ‘Asyh harul Haram”.
Tidak ada satu hadits sama ada yang bertahap Shahih mahupun Hasan yang boleh dijadikan dalil pentakhisan untuk hadits “Asyharul Haram” yang umum maknanya itu. Bahkan hadits tersebut akan menunjukkan Rejab adalah sebahagian afradnya (yakni satu bulan daripada bulan-bulan haram).
Hadits yang khusus berkenaan puasa Sya’ban dan bulan Muharam tidak pula sah dan boleh dipakai sebagai pentakhsisan hadits “Asyhurul Haram” sehingga melibatkan puasa di bulan Rajab. Sebabnya Muharram, Sya’ban dan Rajab adalah ain atau diri atau masa yang berlain-lainan. Sya’ban bukan bulan Haram. Sya’ban mempunyai dalil yang tersendiri. Sedangkan Muharram dan Rejab adalah afrad daripada “bulan-bulan Haram”. Hadits khusus berkenaan fadhilat Muharram tidak akan melibatkan Rejab. Maka bulan Rejab tepat di atas hukum asalnya iaitu sunat sebagaimana yang dicatit oleh Imam Nawawi tersebut, iaitulah dengan catatannya “Ashlul Shaumi Mandhubun ilaih”.
4) Juga difahamkan tentulah berlaku perbezaan bulan Rajab dengan bulan-bulan selain dari bulan Haram, misalnya bulan Safar. Bulan Safar tidak termasuk bulan-bulan Haram. Bulan Rejab adalah bulan di mana sunat berpuasa di dalamnya berdalilkan hadits-hadits yang telah lalu. Sementara bulan Safar pula misalnya tidak disunatkan berpuasa sebab tidak ada dalilnya.
Oleh yang demikian, jika ada orang yang berkata:
“Tidak ada langsung bezanya bulan Rejab dengan bulan-bulan yang lain, sebab semua hadits-haditsnya adalah maudhu’ dan dhaif. Tidak ada fadhilat, tidak ada pahala, dan kalau puasa pun tidak ada ketentuan berpuasa di bulan Rejab dengan berniat umpamanya: ”Sahaja aku puasa esok, di bulan Rejab….”;
maka satu lagi perkara bohong telah timbul. Sebab memang terdapat perbezaan antara bulan Rejab dengan bulan selain bulan-bulan Haram seperti bulan Safar tersebut, menunjukan ada fadhilat atau kelebihan Bulan Rejab.
Maka kita ulangi lagi, “Adalah mereka yang menafikan secara mutlak fadhilat bulan Rejab adalah melakukan kesalahan yang mesti ditangani oleh pemerintah, lantaran perbuatan menyalahfahamkan keterangan yang hak yang menjejaskan kepentingan awam”.
5) Maka sebenarnya hendaklah difahami, bahawa Imam Nawawi hanyalah menyatakan hadits Muslim tersebut tidak menjadi ain dalil berpuasa Rejab sahaja. Bukan kerana berpuasa Rejab tidak ada dalilnya. Kedua-duanya adalah berbeza.
Ada lagi seorang hamba Allah mengatakan, tidak betul huraian awak ini sebab Imam Nawawi tidak berkata secara khusus berpuasa di bulan Rejab, sehingga boleh ditentukan niat berpuasa Rejab secara khusus.
Jawabnya:
Kenapa Imam Nawawi mengatakan ” Ashlu Shawumi Mandubun ilaih”? Cuba pula awak jelaskan?.
Sila lihat pula kitab Majmu’ Syarh Al-Muhazzab juzuk 6 ms 386:
“Sebahagian dari puasa yang disunatkan, ialah puasa dibulan-bulan Haram, iaitu Zul Qa’edah , Zul Hujjah, Muharram dan Rejab”.
Di sini menunjukkan sunat puasa Rejab dan adanya pengkhususan puasa Rejab serta niat-niatnya.
Oleh yang demikian, setiap Muslim semestinya faham untuk membezakan di antara terdapatnya hadits-hadits maudhu’ dan dhaif yang menghikayatkan kelebihan berpuasa di bulan Rejab dengan ketiadaan dalil kelebihan berpuasa di bulan Rejab. Kedua-duanya perkara tersebut sebenarnya adalah perkara yang berlainan.
Jangan terkeliru dan terpedaya dengan kata-kata atau tulisan mereka yang tidak bertanggung jawab ini, yang mungkin kononnya terlalu asyik menjaga masyarakat agar tidak berpegang dengan hadits-hadits yang dusta terhadap Rasulullah (صلى الله عليه وسلم). Nampaknya mereka langsung terlajak menolak terus sunat berpuasa di bulan Rejab.
Sebenarnya kaedah atau metod mereka sama saja bila berhadapan dengan sebarang isu agama khususnya hukum-hukum agama yang telah maklum diketahui orang ramai. Mereka biasanya mencari-cari ruang sedapat mungkin untuk dikritik habis-habisan fatwa-fatwa para ulama’ Muktabar mengikut kaedah mereka yang kebanyakannya adalah mengelirukan. Bahkan mereka sehingga ke tahap berhempas pulas mencanangkan di segala majlis dan tempat dan media akan cogan kata “Hendaklah menilai semula fatwa-fatwa ulama’, jangan ikut sahaja membuta tuli”. Padahal dalam kebanyakan hal merekalah yang terlebih buta, terutama dalam konteks memahami ibarat-ibarat dan maksud kata-kata dari para ulama’ muktabar berkenaan.
No comments:
Post a Comment