Tuesday, June 15, 2010

Soal Puasa Bulan Rejab (Bhg. 1)

Bagi menjawab soalan berkenaan bulan Rejab yang diajukan kepada saya. Saya forward kan jawapan daripada .

Berkenaan mengenai puasa sunat di bulan Rajab, terdapat segelintir manusia yang mengembar gemburkan larangan berpuasa di bulan Rejab, atau cuba menggambarkan tidak ada langsung dalil berpuasa dan beribadat dibulan Rejab, dan tidak ada kelebihan bulan Rejab berbanding bulan-bulan selainnya, ataupun sekurang-kurangnya cuba mengwas-waskan orang ramai terhadap keutamaan bulan Rejab dengan beralasankan hadith-hadith yang mengisahkan fadhilat puasa di bulan Rejab adalah dhaif dan maudhu’.

Maka mereka yang melarang atau sekurang-kurangnya menimbulkan perasaan tidak senang dan cinta untuk berpuasa dan beribadat di bulan Rejab dengan alasan yang tersebut sebenarnya adalah suatu kejahilan yang timbul daripada diri mereka sendiri, ataupun akibat dari penyakit was-was yang tebal terhadap autoriti keilmuan para ulama yang muktabarah.

Ini boleh kita lihat kenyataannya daripada jawapan seorang ulama` yang Muhaqqiq iaitu Al-Imam Al-Allamah Ibnu Hajar Al-Haitami, wafat tahun 974 Hijrah, yang menjelaskan dalam kitab Al-Fatawal Kubro Al Fiqhiyah karangan beliau iaitu dalam juzu’ yang kedua, mukasurat 3, cetakkan Darul Kutub Ilmiah.

Al Allamah Ibnu Hajar ini hidup dikurun ke-9 hijrah, kira-kira 4 ratus tahun dahulu. Maka, persoalan ini sebenarnya telah dijawab terlebih dahulu kira-kira 4 ratus tahun dulu lagi. Akan tetapi, tiba-tiba hari ini datang seorang hamba Allah yang mendakwa dirinya mempunyai ilmu yang dipelajari melebihi tahap masa 3 tahun, cuba membongkar semula masalah ini, atas alasan maudhu dan dhaif hadithnya. Lalu dikatakan tak sunat puasa di bulan Rejab.

Apakah maksud sebenar beliau ini? Kalau sekadar untuk memaklumkan maudhu dan dhaif hadith nya sahaja tidaklah menjadi masalah. Tetapi kalau sampai membatalkan hukum sunat berpuasa di bulan Rejab dan melarang orang ramai mendapatkan kelebihan bulan Rejab, maka ianya sudah termasuk dalam kategori melakukan suatu yang bercanggah dengan kepentingan awam Muslimin.

Sebenarnya bukan orang ramai yang dilarang mendapatkan fadhilat berpuasa dibulan Rejab itu yang bersalah, tetapi beliaulah yang sepatutnya ditegah daripada menyebarluaskan fahaman songsang tersebut. Kita lihat keterangan-keterangan selanjutnya.

Al Allamah Ibnu Hajar Al Haitami mengulas: “Terdapat seorang Ahli Fekah yang sentiasa menegah manusia daripada berpuasa di bulan Rejab (yang mana) adalah kerana kejahilan padanya, dan membuat suatu keputusan tanpa pertimbangan berdasarkan kaedah syariat yang sucinya.

Maka jika dia tidak rujuk kembali daripada menegah, wajib di atas para Hakim Makamah Syariah melarangnya/menegahnya daripada menyebarkan larangan tersebut dan mentakzirkan si Faqih yang jahil tersebut bersama-sama mereka yang sepertinya dengan hukuman Takzir yang sungguh-sungguh, yang memberi faedah tercegahnya daripada melarang orang ramai berpuasa di bulan Rejab.

Seolah-olahnya Faqih (ahli fekah ) yang jahil tersebut terpedaya dengan satu hadis yang diriwayatkan yang menyatakan: “Bahawasanya Neraka Jahanam menyala-nyala bermula daripada haul/pusingan daripada satu haul kepada satu haul bagi sesiapa yang berpuasa Rejab”.

Padahal Si Jahil yang terpedaya tersebut tidak mengetahui bahawasanya hadis yang termaklum itu adalah batil, dusta yang tidak halallah meriwayatnya sebagaimana yang telah menyebut oleh Syekh Abu Omar bin Shollah (Ibnu Sholah), dan menegah engkau dari (meriwayatkannya), kerana memeliharakan sunnah, dan memeliharakan kebesaran ilmu.

Beliau berfatwa berbetulan dengan fatwa (Syeikhul Islam) Izzudin bin Abdis Salam, yang mana sesungguhnya telah disoal mengenai catitan sebahagian Ahli Hadis terdapatnya TEGAHAN berpuasa di bulan Rejab dan membesarkan bulannya al Haram, maka adakah sah nazar berpuasa pada keseluruhan bulan Rejab?

Syeikhul Islam Izzudin Abdis Salam menjawab:: “Nazar puasanya sah, beliau tersebut sebenarnya telah melazimkan penghampiran diri kepada Allah Taala dengan seumpama mengerjakan puasa. Mereka yang menegah daripada berpuasa di masa tersebut adalah jahil terhadap tempat ambilan ( Istinbath hukum-hukum syara’). Maka betapa pula dia menegahkan daripada berpuasa padahal bahawasanya para ulama` yang mana mereka telah menyusun (mentadwinkan) hukum–hukum syariah, tidak pernah ada di kalangan mereka seorang pun yang menyebut termasuk larangan yang makruh berpuasa bahkan sebenarnya puasanya adalah merupakan taqarub yakni penghampiran diri kepada Allah swt kerana berdasarkan beberapa hadis yang shohih yang menyungguh-nyungguh mendorong berpuasa seperti mana sabda Nabi saw, berfirman Allah Taala: “Tiap –tiap anak Adam adalah baginya ( yakni boleh diketahui hitungan pahalanya) melainkan puasa.” 

Dan sabda Nabi saw: “Sesungguhnya berubah bau mulut seseorang yang berpuasa terlebih harum disisi Allah Taala daripada bau kasturi”.

Dan lagi sabda Nabi saw: “Sesungguhnya seafdhal-afdhal puasa ialah puasa saudaraku Daud as. Beliau berpuasa sehari dan berbuka sehari”.

Adalah Nabi Daud as berpuasa dengan cara tersebut tanpa mengaitkan dengan bulan-bulan yang selain daripada bulan Rejab, dan tanpa mengaitkan selain daripada membesarkan bulan Rejab lain dari apa yang berlaku disisi puak Jahiliyah yang mana mereka juga membesarkan bulan Rejab. Maka Daud as dengan sebab berpuasanya bukanlah pula mengikut Jahiliyah.

Tidaklah kesemua perkara yang dilakukan jahiliyah ditegah melakukannya, melainkan apabila terdapat tegahan syariat padanya, atau terdapat dalil-dalil kaedah syariat yang menegahnya. Dan tidak pula ditinggalkan perkara yang sebenar disebabkan kerana terdapat orang-orang yang mengikut sesuatu kebatilan melakukannya.

(Sebenarnya) Orang yang melarang berpuasa (Rejab) tersebut adalah seorang yang Jahil yang terserlah kejahilannya. Tidak halal (yakni Haram-lah ) seseorang Islam mengikuti agama orang tersebut. Kerana tidak harus bertaqlid (mengikut) agama orang tersebut disebabkan, seseorang Islam tidak dibenarkan mengikut (sesuatu fatwa) melainkan kepada mereka yang telah Masyhur memahami, mengetahui dan mengertinya terhadap segala hukum Allah swt dan memahami, mengetahui dan mengertinya segala tempat pengambilan hukum iaitu dalil-dalil hukum.

Apa yang telah dibentangkan dan dibangsakan kepada Ahli Fekah tersebut adalah jauh dari faham, mengerti dan mengetahui berkenaan agama Allah swt. Maka janganlah diikut pada fatwa dan pendapatnya. Sesiapa sahaja yang mengikutinya, nescaya terpedayalah dengan agama ahli fekah itu”.

Tammat fatwa Syeikhul Islam Izzuddin Abdis Salam.
(bersambung…)

No comments:

Post a Comment

Hak Sesama Muslim

Ada 6 Hak Sesama Muslim: Rasulullah Sallallahu Alayhi Wasallam bersabda: “Hak seorang muslim terhadap sesama muslim itu ada enam: 1. Jika ka...