Monday, June 21, 2010

Menggadaikan Agama Kerana Dunia


Hadith Akhir Zaman
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda, “Akan timbul di akhir zaman orang-orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka menunjukkan kepada orang lain pakaian yang dibuat daripada kulit kambing (berpura-pura zuhud dari dunia) untuk mendapat simpati orang ramai, dan percakapan mereka lebih manis daripada gula. Padahal hati mereka adalah hati serigala (mempunyai tujuan-tujuan yang jahat). Allah s.w.t. berfirman kepada mereka, “Apakah kamu tertipu dengan kelembutan Ku?, Ataukah kamu terlampau berani berbohong kepada Ku?. Demi kebesaran Ku, Aku bersumpah akan menurunkan suatu fitnah yang akan terjadi di kalangan mereka sendiri, sehingga orang yang alim (cendiakawan) pun akan menjadi bingung (dengan sebab fitnah itu)”.
H.R. Tirmizi
Keterangan
Golongan yang dimaksudkan di dalam hadith ini ialah orang-orang yang menjadikan agama sebagai alat untuk mendapat keuntungan dunia. Mereka rela menggadaikan agama untuk meraih keuntungan dunia. Dan apabila bercanggah kepentingan dunia dengan hukum syarak, mereka berani mengubah hukum Allah s.w.t. dan memutarbelitkan kenyataan. Mereka juga pandai mengemukakan hujah-hujah yang menarik dan alasan-alasan yang memikat hati, tetapi sebenarnya hujah-hujah dan alasan tersebut hanya semata-mata timbul dari kelicinan mereka memutarbelitkan kenyataan. Mereka menipu orang lain dan juga menipu diri mereka sendiri.
Mereka akan dilanda kekusutan pemikiran yang sangat tajam sehingga orang lain yang banyak pengalaman pun akan kehabisan akal dan buah fikiran. Mereka menghadapi masalah-masalah yang meruncing dan akan menemui jalan buntu dalam permasalahan yang dihadapi.

Tuesday, June 15, 2010

Soal Puasa Bulan Rejab (Bhg. 4)

(sambungan dari entry sebelum ini..) 
Seterusnya Al Allamah Ibnu Hajar menambah::
Telah meriwayatkan oleh Abi Daud bahawa Nabi (صلى الله عليه وسلم) memandubkan (yakni sunat) berpuasa di BULAN-BULAN HARAM (yakni bulan-bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam, dan Rejab). Padahal Rejab adalah sebahagian dari bulan-bulan Haram.

Riwayat dari Abi Daud dan lain-lainnya, dari Urwah, bahawa beliau telah bertanya Abdullah bin Umar (رضى الله عنها) ::
“Adakah Rasululah (صلى الله عليه وسلم) berpuasa dibulan Rejab?
Beliau menjawab:
“Ya dan baginda melebihkannya.”
Ibnu Umar mengatakannya sampai tiga kali.
Dan sesungguhnya Abu Qilabah telah meriwayatkan::
“Sesungguhnya dalam Syurga ada sebuah mahligai bagi sesiapa yang berpuasa di bulan Rejab”.

Imam Al Baihaqi mengulas “Abu Qilabah salah seorang Tabi’in yang tidak akan berkata mengenainya melainkan diambilnya dari seorang Penyampai (Sahabat).” Maka tsabitlah sunat berpuasa di bulan Rejab, bukan makruh. Sesungguhnya pendapat yang mengatakan ianya makruh juga adalah fasid (yakni batal) bahkan salah (yakni tidak betul) sebagaimana yang telah engkau ketahui kelebihan/fadhilat puasa Sya’ban, padahal puasa Rejab terlebih afdhal darinya. Kerana seafdhal-afdhal bulan selepas Ramadhan ialah Bulan Muharam, kemudian baki-baki bulan Haram, akhirnya barulah Sya’ban.

Ulasan:
Sebahagian manusia mengatakan Nabi (صلى الله عليه وسلم) tidak pernah berpuasa Rejab. Tidak ada nash berpuasa Rejab. Lantaran itu (menurut mereka) haram dan bid’ah puasa Rejab, atau segolongan yang lain mengatakannya makruh. Menurut mereka, kalau kita berkepercayaan Nabi (صلى الله عليه وسلم) ada berpuasa di bulan Rejab, maka haram sebab dusta kepada Nabi (صلى الله عليه وسلم). Ataupun menurut segolongan lagi dari mereka, kalau hendak buat juga tapi mengkhususkan niat puasa bulan Rejab maka makruh sebab (kununnya) tak ada dalil hadits yang terang.

Sebenarnya semua kenyataan tersebut salah. Jikalau pihak berkenaan menafikan Nabi (صلى الله عليه وسلم) pernah berpuasa Rejab dengan sebab tidak kerana kejahilan pihak berkenaan, maka hendaklah mereka bertaubat. Kalau sengaja-sengaja berbuat dusta dan kacau-bilau dalam soal kefahaman agama, maka pihak Kerajaan mestilah mengambil tindakan.

Cuba kita lihat satu hadits yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di bawah perenggan ini nanti, iaitu satu lagi hadits yang mana tidak disangsikan lagi akan keshahihannya. Yang sangsi adalah mereka yang di dalam hati berpenyakit seperti seolah-olah mereka ini gila dunia dan kemasyhuran, sedangkan diri mereka nampaknya bukanlah orang yang layak memperkatakan soal agama yang sedemikian rupa. Seperti juga keadaannya penyakit yang sudah ditimpakan kepada:

- golongan yang anti-ulama’ (seperti menafikan autoriti dan keilmuan ulama’ dengan mengatakan tiada ”priest” dalam Islam, yang mana di sini mereka jelas menyamakan agama ini dengan agama sesat seperti Kristian dan Yahudi yang mempunyai “priest” ataupun “Rabbi” mereka), ataupun

- golongan anti Ahli Sunnah, dan juga

- golongan anti Mazhab (yang menyatakan siapapun layak bercakap soal agama khususnya dalam hal ehwal fundamental TANPA ilmu yang mencukupi di mana cakapan mereka disebarluaskan kepada orang ramai, bukannya terhad untuk kegunaan diri mereka sendiri yang bermasalah itu).

Mudah-mudahan dijauhkan kiranya oleh Allah Ta’ala akan kita semua daripada tipudaya dan kerosakan serta kesesatan kefahaman Islam yang timbul pada golongan-golongan ini. [نعوذ بالله من ذلك].

Usman bin Hakam Al Ansori berkata::
”Saya telah bertanya Sa’id bin Jubair berkenaan puasa Rejab sedangkan kami ketika itu masih berada di bulan Rejab.”

Beliau (Sa’id ) menjawab:
”Saya telah mendengar Ibnu Abbas (رضى الله عنها) berkata: Adalah Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) berpuasa sehingga kami mengatakan (menyangka) baginda tidak berbuka (tidak berhenti puasa), dan baginda berbuka sehingga kami mengatakan (menyangka) baginda tidak berpuasa“. – Riwayat Muslim.
Terang dan jelas dalam hadits ini yang mana menunjukan bahawa Nabi (صلى الله عليه وسلم) berpuasa Rejab, dan mereka yang mengatakan bahawa Nabi tidak pernah berbuatnya adalah dusta.

Kalau mereka berkata:
”Aah itu hadits yang menunjukan harus puasa di bulan Rejab, bukannya sunat. Memang dibolehkan jika berpuasa tanpa mengaitkan bulan Rejab. Sebab dalilnya hanya bersandarkan dalil yang umum akan hadits Shahih riwayat Muslim tersebut.”

Jawabnya:
Lihatlah bagaimana mereka cuba berpusing-pusing. Mula–mula mereka mengatakan tidak sunat puasa Rejab sebab tak ada dalil Nabi (صلى الله عليه وسلم) puasa padanya. Kemudian berdalih pula mengatakan hadits Muslim tersebut menunjukkan hanya hukum harus bukan hukum sunat sebagaimana yang disepakati oleh jumhur ulama kaum Muslimin.

Lihatlah akan Syarah/Keterangan hadits tersebut dalam Kitab Syarah Muslim 8, ms 38-39, cetakan Daarul Syaqafah:

Bab: “Berpuasa Nabi (صلى الله عليه وسلم) di bulan yang selain bulan Ramadhan”.

Maksudnya::
“Yang dzahir, bahawa maksud Sa’id bin Jubair dengan istidlal (pengambilan hukum) dengan hadits ini bahawa puasa Rejab tidak ditegah dan tidak disunatkan berdasarkan hadits ini untuk ain (yakni diri atau perkara) puasa Rejab itu.

Bahkan sebaliknya bagi puasa Rejab (iaitu) sama hukumnya dengan hukum selebihnya bulan-bulan (yakni dengan hukum puasa di bulan-bulan haram). Tidak tsabit pada berpuasa Rejab tegahan dan tidak “tidak sabit” nadab (sunat ) bagi diri Rejab , tetapi asal hukum berpuasa Rejab adalah disunatkan.

Di dalam Sunan Abi Daud (disebutkan) bahawa Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) men-sunat-kan berpuasa di bulan-bulan Haram. Padahal Rejab adalah salah satu dari bulan-bulan Haram. Wallahu a’lam”.

Maksud sebenar keterangan Imam Nawawi sebagaimana yang ditulis beliau dalam kitab Syarah Muslim karangannya itu adalah hanya sanya dalil ”Kesunatan Rejab” tidak berdalilkan dengan ain/diri hadits tersebut. Bukan menafikan ”Kesunatan berpuasa di bulan Rejab”. Perhatikan baik-baik perkara ini.

Memang, berdasarkan hadits tersebut kita dapat fahamkan:
1) Nabi (صلى الله عليه وسلم) pernah berpuasa di bulan Rejab. Menafikannya sebagai tidak pernah berpuasa di bulan Rejab dan tiada sunnahnya berpuasa di bulan Rejab adalah satu pembohongan yang mentah-mentah mesti ditolak oleh mereka yang mengerti.

2) Hadits tersebut dilalahnya menunjukan harus berpuasa di bulan Rejab. Bukan sunat, bukan juga makruh, dan barang dijauhi akan ke-haram-annya.

3) Sekalipun hadits tersebut tidak menjadi ain/diri dalil kesunatan berpuasa Rejab, tetapi berpuasa di bulan Rejab tetaplah juga hukum nya sunat berdasarkan Hadits-hadits Shahih yang mentsabitkan puasa di bulan Haram. Misalnya adalah hadits riwayat Imam Ibnu Khuzaimah yang disebutkan sebelum ini dan hadits riwayat Imam Abu Daud yang juga telah meriwayatkan “Seafdhal-afdhal puasa adalah puasa di bulan-bulan Haram”.

Sebagai penjelasan, Imam Nawawi menyebut “Ashlu Shaum mandubun ilaih” yang mana maksudnya ” asal hukum berpuasa adalah mandub, iaitu disunatkan”. Ditahqiqkan dengan kenyataan “bulan Rajab adalah salah satu daripada Tadhamun kepada makna ‘Asyh harul Haram”.

Tidak ada satu hadits sama ada yang bertahap Shahih mahupun Hasan yang boleh dijadikan dalil pentakhisan untuk hadits “Asyharul Haram” yang umum maknanya itu. Bahkan hadits tersebut akan menunjukkan Rejab adalah sebahagian afradnya (yakni satu bulan daripada bulan-bulan haram).

Hadits yang khusus berkenaan puasa Sya’ban dan bulan Muharam tidak pula sah dan boleh dipakai sebagai pentakhsisan hadits “Asyhurul Haram” sehingga melibatkan puasa di bulan Rajab. Sebabnya Muharram, Sya’ban dan Rajab adalah ain atau diri atau masa yang berlain-lainan. Sya’ban bukan bulan Haram. Sya’ban mempunyai dalil yang tersendiri. Sedangkan Muharram dan Rejab adalah afrad daripada “bulan-bulan Haram”. Hadits khusus berkenaan fadhilat Muharram tidak akan melibatkan Rejab. Maka bulan Rejab tepat di atas hukum asalnya iaitu sunat sebagaimana yang dicatit oleh Imam Nawawi tersebut, iaitulah dengan catatannya “Ashlul Shaumi Mandhubun ilaih”.

4) Juga difahamkan tentulah berlaku perbezaan bulan Rajab dengan bulan-bulan selain dari bulan Haram, misalnya bulan Safar. Bulan Safar tidak termasuk bulan-bulan Haram. Bulan Rejab adalah bulan di mana sunat berpuasa di dalamnya berdalilkan hadits-hadits yang telah lalu. Sementara bulan Safar pula misalnya tidak disunatkan berpuasa sebab tidak ada dalilnya.

Oleh yang demikian, jika ada orang yang berkata:
“Tidak ada langsung bezanya bulan Rejab dengan bulan-bulan yang lain, sebab semua hadits-haditsnya adalah maudhu’ dan dhaif. Tidak ada fadhilat, tidak ada pahala, dan kalau puasa pun tidak ada ketentuan berpuasa di bulan Rejab dengan berniat umpamanya: ”Sahaja aku puasa esok, di bulan Rejab….”;

maka satu lagi perkara bohong telah timbul. Sebab memang terdapat perbezaan antara bulan Rejab dengan bulan selain bulan-bulan Haram seperti bulan Safar tersebut, menunjukan ada fadhilat atau kelebihan Bulan Rejab.

Maka kita ulangi lagi, “Adalah mereka yang menafikan secara mutlak fadhilat bulan Rejab adalah melakukan kesalahan yang mesti ditangani oleh pemerintah, lantaran perbuatan menyalahfahamkan keterangan yang hak yang menjejaskan kepentingan awam”.

5) Maka sebenarnya hendaklah difahami, bahawa Imam Nawawi hanyalah menyatakan hadits Muslim tersebut tidak menjadi ain dalil berpuasa Rejab sahaja. Bukan kerana berpuasa Rejab tidak ada dalilnya. Kedua-duanya adalah berbeza.

Ada lagi seorang hamba Allah mengatakan, tidak betul huraian awak ini sebab Imam Nawawi tidak berkata secara khusus berpuasa di bulan Rejab, sehingga boleh ditentukan niat berpuasa Rejab secara khusus.

Jawabnya:
Kenapa Imam Nawawi mengatakan ” Ashlu Shawumi Mandubun ilaih”? Cuba pula awak jelaskan?.

Sila lihat pula kitab Majmu’ Syarh Al-Muhazzab juzuk 6 ms 386:

“Sebahagian dari puasa yang disunatkan, ialah puasa dibulan-bulan Haram, iaitu Zul Qa’edah , Zul Hujjah, Muharram dan Rejab”.

Di sini menunjukkan sunat puasa Rejab dan adanya pengkhususan puasa Rejab serta niat-niatnya.

Oleh yang demikian, setiap Muslim semestinya faham untuk membezakan di antara terdapatnya hadits-hadits maudhu’ dan dhaif yang menghikayatkan kelebihan berpuasa di bulan Rejab dengan ketiadaan dalil kelebihan berpuasa di bulan Rejab. Kedua-duanya perkara tersebut sebenarnya adalah perkara yang berlainan.

Jangan terkeliru dan terpedaya dengan kata-kata atau tulisan mereka yang tidak bertanggung jawab ini, yang mungkin kononnya terlalu asyik menjaga masyarakat agar tidak berpegang dengan hadits-hadits yang dusta terhadap Rasulullah (صلى الله عليه وسلم). Nampaknya mereka langsung terlajak menolak terus sunat berpuasa di bulan Rejab.

Sebenarnya kaedah atau metod mereka sama saja bila berhadapan dengan sebarang isu agama khususnya hukum-hukum agama yang telah maklum diketahui orang ramai. Mereka biasanya mencari-cari ruang sedapat mungkin untuk dikritik habis-habisan fatwa-fatwa para ulama’ Muktabar mengikut kaedah mereka yang kebanyakannya adalah mengelirukan. Bahkan mereka sehingga ke tahap berhempas pulas mencanangkan di segala majlis dan tempat dan media akan cogan kata “Hendaklah menilai semula fatwa-fatwa ulama’, jangan ikut sahaja membuta tuli”. Padahal dalam kebanyakan hal merekalah yang terlebih buta, terutama dalam konteks memahami ibarat-ibarat dan maksud kata-kata dari para ulama’ muktabar berkenaan.

Soal Puasa Bulan Rejab (Bhg. 3)

(Sambungan dari posting sebelum ini…) 
 Ada banyak terminologi atau istilah ilmu hadits yang digunakan dalam posting kali ini, seperti- shohih (kadangkala ditulis shahih),

- dhoif (kadangkala ditulis dhaif),
- maudhu’,
- marfu’,
- Mursal,
- Munqothi’,
- Mu’dhal,
- Mauquf,
- Isnad,
- Fadho ilil A’mal (ringkasnya, fadhilat atau kelebihan ke atas sesuatu amalan),
- Ijma’ (ringkasnya, kesepakatan para atau majoriti ulama’ yang muktabar pada sesuatu perkara / masalah dan penyelesainnya / ketetapannya).

Dari satu sudut memang betul terdapatnya banyak hadits-hadits yang maudhu’, iaitu yang dusta berkenaan Puasa Rejab walhal para Imam (alim ulama’) kita tidak langsung berpegang dengan hadits-hadits maudhu’ tersebut sebagai dalil (akan) sunatnya Puasa Rejab. Jauh sekali daripada mereka bertindak sebegitu. Sebenarnya hanyalah mereka berdalilkan sepertimana yang telah dinyatakan (dalam postings sebelum ini) dan terdapat lagi hadits-hadits dan dalil-dalil yang lain yang akan dibincangkan selepas ini dan akan datang. Insya Allah Ta’ala.

Sebahagiannya, sepertimana terdapatnya hadis-hadis yang popular yang diberikan di bawah:

1) Diriwayatkan oleh Imam Baihaqi daripada Anas ra., beliau telah memarfu’kannya:
إن في الجنة نهرًا يُقال له رجب، ماؤه أشدُّ بياضًا من اللبن وأحلَى من العسل، مَن صام يومًا من رجب سَقاه اللهُ من ذلك النّهر.

Ertinya: “Sesungguhnya di dalam syurga ada sebuah sungai yg dipanggil Rejab, warna airnya sangat putih dari susu, manisnya lebih manis dari madu, barangsiapa yg berpuasa satu hari dari bulan Rejab, maka Allah akan memberi ia minum dari sungai itu”.

(2) Riwayat daripada Abdullah bin Said dari bapanya (dan) beliau memarfu’kannya:
مَن صام من رجب يوما كان كصيام سنة ومن صام منه سبعةَ أيّام غُلِّقت عنه أبواب جهنم . ومن صام منه ثمانيةَ أيام فُتِّحتْ أبوابُ الجنّةِ ، ومن صام منه عشرة أيام لم يسأل الله شيأ الا أعطاه الله اياه , ومن صام خمسة عشر يوما نادى مناد من السمأ قد غفر لك ما سلف فاستأنف العمل وقد بدلت سيِّئاتك حسنات ومن زاد زاده الله.

Ertinya:: “Barang siapa berpuasa sehari didalam bulan Rejab seolah-olah dia berpuasa satu tahun, dan siapa yg berpuasa di dalamnya 7 hari maka akan ditutup 7 pintu-pintu neraka Jahannam, dan barang siapa yg berpuasa 8 hari maka 8 pintu-pintu syurga akan terbuka, dan barang siapa yg berpuasa 10 hari, tidaklah jika dia berdoa melainkan akan dimakbulkan Allah, barangsiapa yang berpuasa 15 hari, menyerulah penyeru dari langit “Sesungguhnya telah diampunkan bagimu perkara yang telah lalu maka dimulai amal yang baru, dan sesungguhnya telah digantikan segala kejahatan engkau dengan kebajikan dan barangsiapa yang melebihkannya maka melebihkannya oleh Allah”.

Kemudian Al Baihaqi telah menaqalkan daripada gurunya Al Hakim bahawa hadis yang pertama di atas adalah statusnya Mauquf atas Abi Qilabah seorang daripada Tabi’in. Orang yang seperti beliau tidak akan berkata-kata melainkan diambil daripada seseorang (iaitu para sahabat) yang perkataannya diambil pula daripada Tuan yang menerima wahyu (iaitu Rasulullah saw).

Mengenai hadits yang diriwayatkan daripada Abi Hurairah pula (iaitu): “Bahawa Nabi saw tidak pernah berpuasa selepas Ramadhan melainkan Rejab dan Sya’ban“,

Beliau berkata Isnad hadits tersebut Dhaif.


Syekh Al Allamah Ibnu Hajar menjelaskan pula fungsi hadits-hadits Dhoif yang berkisar dalam masalah Puasa Rejab ini. Beliau menulis di muka surat 5.

“Sesungguhnya para ulama’ telah menetapkan bahawa hadits-hadits Dhaif, Mursal, Munqothi’, Mu’dhal dan Mauquf diamalkan dengannya pada Fadho ilil A’mal atas dasar IJMA’. Maka tidak syak lagi bahawa berpuasa Rejab adalah sebahagian daripada Fadho ‘ilil A’mal. Memadailah padanya dengan hanya berdalilkan hadits-hadits Dhaif dan yang sepertinya, tiadalah diingkari demikian itu melainkan orang-orang yang JAHIL YANG TERPEDAYA”.

Walaubagaimana sekalipun, selain daripada kenyataan Al Allamah Ibnu Hajar mengenai memadai untuk beramal berpuasa di bulan Rejab dengan beriktibar kepada hadits-hadits yang tersebut sekalipun ada yang dhaif, beliau juga menjelaskan lagi mengenai terdapatnya hadits-hadits yang bertaraf shahih sebagai pegangan para ulama’ yang memfatwakan Puasa Rejab adalah SUNAT.

Kita lihat dimuka surat 22 di mana beliau menulis: “Bahawa yang sebenar adalah perkataan dari orang yang berkata: Sunat berpuasa hari Isnin dan Khamis, Rejab dan baki hari-hari di Bulan Haram. Sesiapa yang berkata sebaliknya, iaitu “Tidak sunat” dan menegah manusia (dari mendapatkan fadhilatnya) dengan berpuasa, maka orang tersebut salah dan berdosa. Kerana penghujung kedudukan orang tersebut sebenarnya adalah bertaraf seorang Awam.”

[Ulasan: Orang awam tidak boleh sewenang-wenang memberi fatwa dan tidak harus diikuti. Maka seseorang awam yg cuba-cuba berfatwa adalah berdosa dan haram diikuti.]

Pada muka surat 23 beliau menyebut lagi: "Sepertimana satu hadits yang telah meshahihkannya oleh Ibnu Khuzaimah daripada Usamah ra. : 

Saya (yakni Usamah) berkata: ”Wahai Rasululah! Saya tidak pernah melihat Tuan berpuasa sepanjang bulan daripada seluruh bulan sepertimana Tuan berpuasa bulan Sya’ban?”

Baginda saw menjawab: "Demikian itu adalah satu bulan yang lalai manusia daripadanya yang berada antara Rejab dan Ramadhan. Maka bulan Sya’ban adalah satu bulan yang diangkat di dalamnya semua amal ke hadrat Rabbil A’lamin. Maka aku suka bahawa diangkat amalanku dalam keadaan aku berpuasa”.

Maka mengisyaratkan oleh Rasulullah saw tatkala melengkungi oleh dua bulan yang agung iaitu bulan Rajab dan bulan Ramadhan, yang mana manusia berlumba-lumba sibuk ( berpuasa dan beribadat ) dalam kedua-dua bulan tersebut, lantas terlupa bulan Sya’ban. Kerana yang demikian, kebanyakan ulama’ berpendapat puasa di bulan Rejab terlebih afdhal dari bulan Sya’ban.

Siapakah manusia yang sibuk berpuasa di bulan Ramadhan dan Rejab tersebut? Iaitulah Rasulullah saw dan para shahabat baginda. Sudah termaklum mereka adalah sebahagian daripada makna manusia dari lafaz hadits tersebut dan hadits ini juga menjadi dalil akan sunatnya berpuasa Rejab sebab lafaz “Maka aku suka bahawa diangkat amalanku dalam keadaan aku berpuasa” adalah sabda baginda saw sendiri. Mengatakan Nabi tidak pernah berpuasa di bulan Rejab dan tidak sunnah berpuasa di bulan Rejab adalah satu pendustaan juga terhadap Nabi saw. Telah maklum hadis riwayat Imam Ibnu khuzaimah tersebut adalah hadis shahih.
(Wallahu Subhanahu Wa Ta’ala A’lam. Nanti ada sambungan lagi, InsyaAllah.)

Soal Puasa Bulan Rejab (Bhg. 2)

(Sambungan dari bhg sebelumnya – rujuklah entry sebelum ini jika anda belum membacanya.)
Seterusnya Ibnu Sholah telah menjelaskan maksud fatwa (Syeikhul Islam) Izzuddin Abdis Salam dalam kitab Fatawa Kubro tersebut di muka surat yang sama.

“Dan telah mengisyaratkan oleh Izzuddin Abdis salam bahawa memadai pada kelebihan berpuasa di bulan Rejab dengan apa yang telah diriwayatkan oleh beberapa hadis yang menunjukkan atas Fadhilat/Kelebihan puasa (iaitu):
- Yang Mutlak (yakni yang umum, yang menyeluruh), dan
- Yang Khusus kelebihannya pada BULAN-BULAN HARAM.

Iaitu seperti hadits Abi Daud dan Ibnu Majah dan hadits riwayat selain (daripada) mereka, daripada (Abu Umamah) Al Bahili: Aku datang kepada Rasulullah saw maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! Saya adalah seorang lelaki yang datang bertemu Tuan pada tahun yang pertama.

Baginda bersabda: “Mengapa Ku lihat tubuhmu kurus kering?”

Jawab Al Bahili: “Ya Rasulullah, tidak ada benda yang saya makan di siang hari yang saya makan melainkan (dimakan ) pada malam sahaja.”

Bertanya Nabi saw: “Siapa pula yang menyuruh engkau mendera dirimu?”

Aku menjawab: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya kuat (berpuasa).”

Bersabda Nabi saw: “Berpuasalah dibulan sabar, dan tiga hari selepasnya dan berpuasalah di bulan-bulan Haram”.

Pada satu riwayat lain: “Berpuasalah dibulan sabar dan sehari pada tiap-tiap bulan.”

Berkata Al Bahili: “Tambahi lagi, sesungguhnya (aku) mempunyai kekuatan.”

Bersabda Nabi saw: “Berpuasalah dua hari.”

Berkata Al Bahili: “Tambahilah lagi maka sesungguhnya aku mempunyai kekuatan.”

Bersabda Nabi saw: “Berpuasalah tiga hari selepasnya dan berpuasalah di bulan Haram dan tinggalkanlah, puasalah di bulan Haram dan tinggalkanlah.

Rasululah saw bersabda sambil menghimpunkan jari-jarinya yang tiga kemudian melepaskannya”.

Para ulama’ telah mengulas bahawa:
1) Nabi saw menyuruh Al Bahili berhenti berpuasa (beberapa ketika) kerana mendapati kesusahan nya untuk membanyakkan puasa seperti yang telah dinyatakan pada awal-awal hadits pertama, dan
2) sesiapa yang tidak kepayahan (yakni mampu), maka berpuasa keseluruhan adalah satu fadhilat/kelebihan.

Perhatikanlah (bahawa):
1) perintah Nabi saw dengan berpuasa di bulan-bulan Haram pada riwayat yang pertama, dan
2) perintah Nabi saw berpuasa dalam sebahagian dari BULAN-BULAN HARAM pada riwayat yang kedua,
nescaya engkau akan dapati
- Nash akan perintah berpuasa Rejab, atau
- Berpuasa sebahagian darinya kerana Rejab adalah sebahagian daripada bulan-bulan Haram, bahkan ia adalah yang paling afdhal dari kesemua bulan-bulan haram.

Maka perkataan Orang Jahil tersebut: “Bahawa Hadits-hadits berpuasa di bulan Rejab adalah Maudhu’, jika dia memaksudkannya menyeluruh pada segala hadits-hadits yang menunjuk kepada berpuasa Rejab menurut umumnya hadits dan khususnya, (maka) itu sebenarnya adalah satu pendustaan dan pembohongan (yang timbul) pula dari si Jahil tersebut.

Hendaklah dia bertaubat (dari fahamannya dan meyebarluaskan fatwanya kepada orang ramai). Kalau tidak mau juga, ditakzirlah atasnya dengan takzir yang sungguh-sungguh oleh pemerintah (lantaran fahaman songsangnya).
——————————
Wallahu Subhanahu Wa Ta’ala A’lam.
(bersambung ke bahagian seterusnya)

Soal Puasa Bulan Rejab (Bhg. 1)

Bagi menjawab soalan berkenaan bulan Rejab yang diajukan kepada saya. Saya forward kan jawapan daripada .

Berkenaan mengenai puasa sunat di bulan Rajab, terdapat segelintir manusia yang mengembar gemburkan larangan berpuasa di bulan Rejab, atau cuba menggambarkan tidak ada langsung dalil berpuasa dan beribadat dibulan Rejab, dan tidak ada kelebihan bulan Rejab berbanding bulan-bulan selainnya, ataupun sekurang-kurangnya cuba mengwas-waskan orang ramai terhadap keutamaan bulan Rejab dengan beralasankan hadith-hadith yang mengisahkan fadhilat puasa di bulan Rejab adalah dhaif dan maudhu’.

Maka mereka yang melarang atau sekurang-kurangnya menimbulkan perasaan tidak senang dan cinta untuk berpuasa dan beribadat di bulan Rejab dengan alasan yang tersebut sebenarnya adalah suatu kejahilan yang timbul daripada diri mereka sendiri, ataupun akibat dari penyakit was-was yang tebal terhadap autoriti keilmuan para ulama yang muktabarah.

Ini boleh kita lihat kenyataannya daripada jawapan seorang ulama` yang Muhaqqiq iaitu Al-Imam Al-Allamah Ibnu Hajar Al-Haitami, wafat tahun 974 Hijrah, yang menjelaskan dalam kitab Al-Fatawal Kubro Al Fiqhiyah karangan beliau iaitu dalam juzu’ yang kedua, mukasurat 3, cetakkan Darul Kutub Ilmiah.

Al Allamah Ibnu Hajar ini hidup dikurun ke-9 hijrah, kira-kira 4 ratus tahun dahulu. Maka, persoalan ini sebenarnya telah dijawab terlebih dahulu kira-kira 4 ratus tahun dulu lagi. Akan tetapi, tiba-tiba hari ini datang seorang hamba Allah yang mendakwa dirinya mempunyai ilmu yang dipelajari melebihi tahap masa 3 tahun, cuba membongkar semula masalah ini, atas alasan maudhu dan dhaif hadithnya. Lalu dikatakan tak sunat puasa di bulan Rejab.

Apakah maksud sebenar beliau ini? Kalau sekadar untuk memaklumkan maudhu dan dhaif hadith nya sahaja tidaklah menjadi masalah. Tetapi kalau sampai membatalkan hukum sunat berpuasa di bulan Rejab dan melarang orang ramai mendapatkan kelebihan bulan Rejab, maka ianya sudah termasuk dalam kategori melakukan suatu yang bercanggah dengan kepentingan awam Muslimin.

Sebenarnya bukan orang ramai yang dilarang mendapatkan fadhilat berpuasa dibulan Rejab itu yang bersalah, tetapi beliaulah yang sepatutnya ditegah daripada menyebarluaskan fahaman songsang tersebut. Kita lihat keterangan-keterangan selanjutnya.

Al Allamah Ibnu Hajar Al Haitami mengulas: “Terdapat seorang Ahli Fekah yang sentiasa menegah manusia daripada berpuasa di bulan Rejab (yang mana) adalah kerana kejahilan padanya, dan membuat suatu keputusan tanpa pertimbangan berdasarkan kaedah syariat yang sucinya.

Maka jika dia tidak rujuk kembali daripada menegah, wajib di atas para Hakim Makamah Syariah melarangnya/menegahnya daripada menyebarkan larangan tersebut dan mentakzirkan si Faqih yang jahil tersebut bersama-sama mereka yang sepertinya dengan hukuman Takzir yang sungguh-sungguh, yang memberi faedah tercegahnya daripada melarang orang ramai berpuasa di bulan Rejab.

Seolah-olahnya Faqih (ahli fekah ) yang jahil tersebut terpedaya dengan satu hadis yang diriwayatkan yang menyatakan: “Bahawasanya Neraka Jahanam menyala-nyala bermula daripada haul/pusingan daripada satu haul kepada satu haul bagi sesiapa yang berpuasa Rejab”.

Padahal Si Jahil yang terpedaya tersebut tidak mengetahui bahawasanya hadis yang termaklum itu adalah batil, dusta yang tidak halallah meriwayatnya sebagaimana yang telah menyebut oleh Syekh Abu Omar bin Shollah (Ibnu Sholah), dan menegah engkau dari (meriwayatkannya), kerana memeliharakan sunnah, dan memeliharakan kebesaran ilmu.

Beliau berfatwa berbetulan dengan fatwa (Syeikhul Islam) Izzudin bin Abdis Salam, yang mana sesungguhnya telah disoal mengenai catitan sebahagian Ahli Hadis terdapatnya TEGAHAN berpuasa di bulan Rejab dan membesarkan bulannya al Haram, maka adakah sah nazar berpuasa pada keseluruhan bulan Rejab?

Syeikhul Islam Izzudin Abdis Salam menjawab:: “Nazar puasanya sah, beliau tersebut sebenarnya telah melazimkan penghampiran diri kepada Allah Taala dengan seumpama mengerjakan puasa. Mereka yang menegah daripada berpuasa di masa tersebut adalah jahil terhadap tempat ambilan ( Istinbath hukum-hukum syara’). Maka betapa pula dia menegahkan daripada berpuasa padahal bahawasanya para ulama` yang mana mereka telah menyusun (mentadwinkan) hukum–hukum syariah, tidak pernah ada di kalangan mereka seorang pun yang menyebut termasuk larangan yang makruh berpuasa bahkan sebenarnya puasanya adalah merupakan taqarub yakni penghampiran diri kepada Allah swt kerana berdasarkan beberapa hadis yang shohih yang menyungguh-nyungguh mendorong berpuasa seperti mana sabda Nabi saw, berfirman Allah Taala: “Tiap –tiap anak Adam adalah baginya ( yakni boleh diketahui hitungan pahalanya) melainkan puasa.” 

Dan sabda Nabi saw: “Sesungguhnya berubah bau mulut seseorang yang berpuasa terlebih harum disisi Allah Taala daripada bau kasturi”.

Dan lagi sabda Nabi saw: “Sesungguhnya seafdhal-afdhal puasa ialah puasa saudaraku Daud as. Beliau berpuasa sehari dan berbuka sehari”.

Adalah Nabi Daud as berpuasa dengan cara tersebut tanpa mengaitkan dengan bulan-bulan yang selain daripada bulan Rejab, dan tanpa mengaitkan selain daripada membesarkan bulan Rejab lain dari apa yang berlaku disisi puak Jahiliyah yang mana mereka juga membesarkan bulan Rejab. Maka Daud as dengan sebab berpuasanya bukanlah pula mengikut Jahiliyah.

Tidaklah kesemua perkara yang dilakukan jahiliyah ditegah melakukannya, melainkan apabila terdapat tegahan syariat padanya, atau terdapat dalil-dalil kaedah syariat yang menegahnya. Dan tidak pula ditinggalkan perkara yang sebenar disebabkan kerana terdapat orang-orang yang mengikut sesuatu kebatilan melakukannya.

(Sebenarnya) Orang yang melarang berpuasa (Rejab) tersebut adalah seorang yang Jahil yang terserlah kejahilannya. Tidak halal (yakni Haram-lah ) seseorang Islam mengikuti agama orang tersebut. Kerana tidak harus bertaqlid (mengikut) agama orang tersebut disebabkan, seseorang Islam tidak dibenarkan mengikut (sesuatu fatwa) melainkan kepada mereka yang telah Masyhur memahami, mengetahui dan mengertinya terhadap segala hukum Allah swt dan memahami, mengetahui dan mengertinya segala tempat pengambilan hukum iaitu dalil-dalil hukum.

Apa yang telah dibentangkan dan dibangsakan kepada Ahli Fekah tersebut adalah jauh dari faham, mengerti dan mengetahui berkenaan agama Allah swt. Maka janganlah diikut pada fatwa dan pendapatnya. Sesiapa sahaja yang mengikutinya, nescaya terpedayalah dengan agama ahli fekah itu”.

Tammat fatwa Syeikhul Islam Izzuddin Abdis Salam.
(bersambung…)

Sunday, June 13, 2010

Ada apa dengan TULISAN

Oleh Dato’ Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah


Pertama: Tekanan
i. Tekanan yang kuat
Seseorang yang menulis dengan kuat tekanannya sehingga berbekas di bahagian belakang kertas.
· Sihat, cergas, pantas dan sedikit agresif
ii. Tekanan yang ringan
Seseorang yang menulis dengan lembut dan ringan dan tidak berbekas.
· Kurang bertenaga, kurang sihat dan mudah sakit.


Kedua : Bentuk Tulisan
i. Tulisan yang bulat-bulat
Semua huruf ditulis dengan bulat.
· Emosional, prihatin, pengasih penyayang, kepekaan tinggi dan banyak memakai otak di sebelah kanan (otak kreatif)
ii. Tulisan yang tajam-tajam atau leper-leper
Tulisan yang angular dan sharp
· Rasional, berkerja dgn sistematik, pandai mengurus dan banyak memakai otak di sebelah kiri (otak logical)


Ketiga : Kecondongan
i. Condong ke kanan
· Extrovert, suka bercerita, berkongsi maklumat dgn orang lain, peramah, suka campur orang, mudah memimpin, mudah menunjukkan kasih
sayang, berani, pemurah
ii. Condong ke kiri
· Introvert, suka menyimpan rahsia, agak pemalu, tak suka berubah, amat setia kepada kekasih, keluarga, organisasi dan negara tetapi tak suka campur orang
iii. Tegak
· Systematic, mudah kawal diri, suka berkawan tetapi tak cari kawan sebaliknya kawan cari dia, tak suka gaduh-gaduh, suka ambil jalan tengah
iv. Campur-campur
· Emosi tak tetap macam remaja yang belum cukup umur atau macam orang perempuan datang bulan (maaf)


Keempat : Kerapatan
i. Jarang-jarang
· Tak suka campur orang, kurang mesra dan sedikit boros.
ii. Rapat-rapat
· Suka campur orang, amat bergantung kepada orang lain, jimat atau kedekut


Kelima : Pada huruf J, G, Y, Z
i. Ada ekor
a) Besar, panjang dan sempurna
· Tahap emosi yang dipamer itu jelas, pengasih & penyayang, pemurah, mudah kesian pada orang, mempamerkan tahap kerajinan
b) Kecil, pendek dan tak sempurna
· Tak pandai mempamerkan emosi, kurang rajin, tak pandai mempamerkan kasih sayang walaupun sayang itu banyak dalam diri

Keenam : Pada palang huruf kecil T (t)
i. Tinggi
· Tahap aspirasi tinggi
ii. Rendah
· Mudah berpuas hati, cita-cita rendah
iii. Tengah-tengah
· Usaha dan tahap pencapaian itu di tahap sederhana

sumber:

Friday, June 11, 2010

Antara angan dan sedar!

Semalam aku terkesan,
Dengan kata2 seorang rakanku.
Sedihkah kita?
Andai hidayah Allah ditarik
kerana disebabkan kita.

Lihatlah,
Kuil-kuil, gereja-gereja, kelab-kelab malam,
Begitu banyak didirikan,
Tersergam indah penuh dgn manusia,
Di manakah hidayah Allah?
Sudah tentu ianya hak mutlak Yang Esa.

Tapi,
Aku pernah diberitahu dan aku percaya,
Kita boleh menjadi asbab turunnya or ditariknya
hidayah Allah itu.
Bukankah kerana seorang melakukan maksiat
Allah berhak menghukum kesemua kaum itu?

Mungkin inilah fungsi,
Ingat mengingati sesama kita.
Dengan erti kata lain...
Dakwah.

Andai kita sedar betapa pentingnya peranan dakwah itu,
Andai kita ditunjukkan ganjaran melakukan dakwah itu,
Aku percaya semua manusia di muka bumi ini,
Tidak akan sanggup meninggalkannya.

Ayuh, berdakwah.
Berbagai cara..berbagai teknik,
Ikutlah kemampuan masing-masing,
Dan ingatlah Allah mengetahui setiap perbuatan yg kita lakukan.

p/s: curi-curi menulis ketika sedang menelaah notes microb. Tu yg buat ayat ringkas2 je. hehe..harap dapat apa yg ak nk sampaikan.

Tuesday, June 8, 2010

Ujian Dahsyat Terhadap Iman


Hadith Akhir Zaman
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. berabda: “Bersegeralah kamu beramal sebelum menemui fitnah (ujian berat terhadap iman) seumpama malam yang sangat gelap. Seseorang yang masih beriman di waktu pagi, kemudian di waktu petang dia sudah menjadi kafir, atau (Syak Perawi Hadith) seseorang yang masih beriman di waktu petang, pada esoknya ia sudah menjadi kafir. Ia telah menjual agamanya dengan sedikit dari mata benda dunia”.
H.R. Muslim
Keterangan
Hadith ini menerangkan kita betapa dahsyat dan hebatnya ujian terhadap iman seseorang di akhir zaman. Seseorang yang beriman di waktu pagi-pagi, tiba-tiba dia menjadi kafir di waktu petang. Begitu juga sebaliknya. Begitu pantas dan cepat perubahan yang berlaku. Iman yang begitu mahal pun boleh gugur di dalam godaan satu malam atau satu hari saja, sehingga ramai orang yang menggadaikannya kerana hanya mendapatkan sedikit harta benda dunia. Dunia lebih dicintai di sisi mereka berbanding iman. Dan menurut riwayat Ibnu Majah, beliau menambah “kecuali orang yang hatinya dihidupkan Allah s.w.t. dengan ilmu”.
Mudah-mudahan Allah s.w.t. menjadikan kita di antara orang yang berilmu dan mengamalkan ilmunya, sehingga ilmu itu dapat menyelamatkan iman kita dari ujian yang dahsyat itu. Semoga Allah s.w.t. golongkan kita dalam kalangan orang yang hidup hatinya di saat hati-hati dimatikan.

Hak Sesama Muslim

Ada 6 Hak Sesama Muslim: Rasulullah Sallallahu Alayhi Wasallam bersabda: “Hak seorang muslim terhadap sesama muslim itu ada enam: 1. Jika ka...