Waktu yang berlalu terasa begitu singkat sekali, perginya terasa begitu cepat. Sedar atau tidak, Ramadhan sudah memasuki hari ke-6. Terbukti, waktu itu sebuah perjalanan tanpa perhentian. Dan kitalah yang sepatutnya mengisi setiap detik itu dengan sesuatu, kerana hanya itulah yang memberi erti pada 'waktu' itu. Apa yang kita lakukan, setiap apa yang kita lakukan, biarlah menjadi tanda syukur kita padaNya atas nikmat waktu yang dikurniakan itu. Alhamdulillah...kita diberi kesempatan untuk menyapa Ramadhan pada tahun ini.
Gunakanlah peluang yang sangat mahal ini untuk menambah kekuatan jiwa. Kembali bangkit menguatkan azam dan semangat dalam menambah bekal agar sisa hidup kita tepat atas landasan yang menuju redha Allah s.w.t. Bukan terperangkap oleh tipu helah syaitan dan jerat-jerat dunia. Marilah berazam untuk memiliki Ramdhan dan segala isinya pada tahun ini. Sepertimana kita mencintai Syawal yang memiliki Hari Raya Aidilfitri. Nauzubillah...semoga kita tidak tergolong dalam golongan yang ghairah menanti kehadiran lebaran 1 Syawal tanpa menghiraukan kedatangan suatu malam yang mana keutamaannya lebih baik dari 1000 bulan. Beruntung dan berbahagialah sesiapa yang berjaya memiliki malam itu.
Wahai Allah, sesungguhnya aku ini apa sahaja kebaikan yang engkau turunkan amatlah fakir. Hadith nabi ada menyebut, bagi setiap amalan itu ada masa kuat dan ada masa lemah. Baik perbuatan jahat ataupun baik. Sesiapa pada masa lemahnya kembali pada sunnah Nabi, akan mendapat petunjuk. Maka, tidak hairan dan janganlah berputus asa bila kita rasa lemah untuk beramal. Amal yang paling disukai Allah s.w.t. ialah yang tetap dilakukan walaupun ianya sedikit. Subhanallah...teruskanlah dengan amalan masing-masing di bulan Ramadhan ini. Semoga semua amalan itu diterima dan dapat diteruskan di bulan-bulan berikutnya.
Sedikit perkongsian hadith. Hadith yang biasa dibaca atau didengar tapi kurang dihayati. Allahuakbar... Daripada Abu Hurairah r.a. telah berkata, telah bersabda Rasulullah s.a.w., "Setiap anggota manusia harus membuat sedekah setiap hari apabila terbit matahari. Engkau mendamaikan antara dua orang adalah sedekah. Engkau membantu seseorang menaiki tunggangannya atau mengangkat barang2nya ke atas tunggangannya adalah sedekah. Kata-kata manis juga sedekah. Setiap langkah yang engkau melangkah menuju ke tempat sembayang adalah sedekah. Dan engkau menjauhkan bahaya dari lalu lintas orang ramai juga merupakan sedekah" (Riwayat Bukhari dan Muslim). Sedekah juga satu amalan yang dituntut di bulan mulia ini. Renung-renungkan dan selamat beramal.
p/s: Menulis sambil dengar lagu baru Najwa Latiff - AdaMu. Lirik lagu ni penuh bermakna. Thumbs up!!
No comments:
Post a Comment