Beza antara orang Islam dan orang mukmin terlalu jauh. Kalau wujud ciri mukmin maka secara automatik ciri Islam itu wujud. Namum, kalau ciri Islam wujud pada seseorang, belum tentu ciri mukmin juga ada. Kerana itu iman perlu dicari. Iman itulah taqwa. Tidak cukup jadi orang Islam sahaja tetapi mesti menjadi orang mukmin (bertaqwa).
Iman adalah hakikat dan Islam adalah syariat. Iman bersifat rohaniah dan Islam bersifat lahiriah. Yang Tuhan akan nilai di Akhirat nanti ialah iman. Yang Tuhan akan nilai adalah hakikatnya. Hakikat bertapak pada roh atau hati. Hatilah yang Tuhan akan nilai, bukan soal-soal lahir. Namum, kedua-duanya mesti dibuat. Tetapi keutamaannya adalah pada hati. Orang mukmin dijamin masuk Syurga sedangkan orang Islam tidak dijamin sedemikian.
Ada satu cerita di zaman Rasulullah SAW. Seorang Arab Badwi masuk Islam. Apabila bertemu dengan Rasulullah, dia berkata kepada baginda,”Wahai Rasulullah, saya sudah beriman.” Terus Rasulullah menegur,” Jangan katakan kamu sudah beriman. Katakanlah sahaja kamu sudah Islam.”
Ertinya untuk dapat iman adalah susah. Untuk menjadi Islam, itu mudah. Syahadah sahaja, sudah Islam. Di sinilah kita lihat mengapa umat Islam masih jahat walaupun ibadah banyak. Ibadah banyak menggambarkan kulit atau syariat Islam. Ibadah tidak semestinya menggambarkan iman dan taqwa.
Katalah seseorang itu sembahyangnya banyak, puasa sunatnya banyak, rajin mengaji dan berjuang tetapi dalam masa yang sama dia berbohong, rasuah, hasad dengki, tidak ada kasih sayang dan tidak pedulikan orang. Islamnya hebat. Syariatnya pun hebat. Tetapi cacatnya terlalu banyak. Itu petanda hatinya belum benar-benar beriman dan bertaqwa.
Perasaan bersalah perlu ada dalam hati tatkala begitu banyak dosa kita lakukan. Tatkala begitu banyak maksiat berlaku di sekeliling kita tanpa kita usaha mencegahnya. Beruntunglah insan bilamana sekadar hatinya benci akan perkara itu. Tulisan ini sekadar renungan bersama setelah lama mendiamkan diri. Jangan mengeluh bila begitu banyak dugaan menghimpit diri. Jadikan ia peluang untuk kita dekat padaNya. Yakinlah selangkah kita dekat padaNya, seribu langkah Dia dekat pada kita. Apabila kita merasai perasaan itu, percayalah segala dugaan itu seolah-olah tidak menggambarkan apa-apa kesusahan pun. Kembalilah, berpalinglah kepadaNya pada ketika ramai umat manusia sudah lupa akan Dia. Hanya itulah ketenangan, kebahagiaan yang abadi.
Wassalam..
No comments:
Post a Comment