Saat orang ramai kesukaan dia berduka sedih,
Jasadnya dengan manusia tapi batinnya dengan Allah,
Ketenangan adalah hembusan dari langit,
Diturunkan ke dalam lubuk hati orang yang beriman,
Mereka akan tetap berdiri teguh di kala insan lain kegoncangan.
Begitu pantas masa berlalu. Alhamdulillah, hari ini sudah memasuki hari ke-14 kita berpuasa. Namun, adakah hari-hari yang berlalu kita manfaatkan sepenuhnya? Berjayakah kita mengatasi nafsu kita, berjayakah kita kikis tompok2 hitam yang melekat di lubuk hati kita selama ini. Dan berjayakah kita menjadi hambaNya yang menuruti segala suruhan dan meninggalkan segala laranganNya. Atau kita masih di takuk lama. Muhasabahlah!! Berhijrahlah!! Kerana belum tentu esok ADA untuk kita.
"Sesungguhnya barangsiapa yang mencari redha Allah dengan marahnya manusia, maka Allah akan cukupkan baginya akan segala keperluannya di dunia ini. Tetapi barangsiapa yang mencari redha manusia dalam keadaan Allah murka, maka Allah menyerahkan nasibnya kepada manusia"
Hayatilah hadith di atas. Semoga Ramadhan kali ini dapat menjadikan kita umat manusia yang sentiasa mencari redha Allah dalam setiap perbuatan kita. Alangkah indahnya andai segala pekerjaan kita di dunia ini dapat dijadikan amal ibadah kita kepadaNya. Tidak mustahil, bukan? Manusia yang sentiasa mencari redha Ilahi tidak akan melakukan perbuatan yang dilarangNya..malah sentiasa takut untuk melakukannya. Manusia itu akan sentiasa bertaubat akan keterlanjuran..kelekaannya dari mengingati sang pencipta pada setiap saat. Subhanallah..alangkah indahnya hidup ini andai semua manusia mencari redha Allah.
Tidak akan ada yang kuat menindas yang lemah, yang lemah sentiasa dibela.
Tidak akan ada yang tidur dalam kelaparan, tiada makanan dibazirkan.
Tidak akan ada yang meninggi diri, seolah olah dialah paling berkuasa.
Tidak ada khianat mengkhianati, saling memfitnah walau berkata dusta.
Tidak akan ada percampuran lelaki dan perempuan bukan mahram.
Maka amanlah hidup manusia di muka bumi ini.
Namun Allah menjadikan hidup manusia di dunia ini terbahagi kepada tiga golongan (mujahid Fathi Yakah):
Pertama: Golongan yang hidup hanya untuk dunia semata-mata (ad-Dhariyyun). Sikap mereka jelas seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran:
Dan tentu akan mereka katakan: "Hidup hanyalah kehidupan kita di dunia sahaja dan kita sekali-kali tidak akan dibangkitkan" -al-An'am: ayat 29.
Dan mereka berkata: "Kehidupan tidak lain hanyalah kehidupan dunia sahaja, kita mati dan kita hidup dan tidak ada yang membinasakan kita selain masa. Dan mereka sekali-kali tidak mempunyai pengetahuan tentang itu, mereka tidak lain hanyalah menduga-duga sahaja" -al-Jatsiyah: ayat 24.
Kedua: Golongan yang hilang pedoman, terumbang ambing, aqidah mereka bersimpang siur. Melakukan kesesatan dan menyimpang dari jalan Allah dalam kehidupan ini. Sementara mereka masih percaya mereka di jalan yang benar, mereka berbuat kebaikan. Meskipun ada antara mereka percaya kepada Allah dan hari Qiamat tapi aqidah mereka hanyalah gambaran semata-mata. Pada hakikatnya, mereka berfahaman kebendaan walaupun mereka melakukan kerja-kerja kebaikan.
"Orang-orang yang kafir kpd Tuhannya, amalan-amalan mereka seperti debu yang ditiup angin dengan deras pada suatu hari yang berangin kencang. Mereka tidak dapat mengambil sebarang manfaat dari apa yang mereka kerjakan di dunia ini. Yang demikian itu adalah kesesatan yang jauh" -Ibrahim; ayat 18.
"Dan orang-orang kafir, amalan-amalan mereka adalah seumpama fatamorgana di tanah yang datar, yang disangka air oleh mereka yang dahaga, tetapi bila didatanginya air itu, dia tidak mendapatinya sesuatu apapun" -an-Nur: ayat 39.
Ketiga: Golongan yang menganggap dunia ini sebagai ladang tanaman untuk mendaptkan hasilnya di akhirat kelak. Golongan inilah yang benar-benar beriman dgn Allah. Mereka mengetahui hakikat hidup serta memahami nilai dunia berbanding hari akhirat.
"Dan tidaklah kehidupan dunia ini selain daripada bermain-main dan bersenda gurau belaka. Dan sesungguhnya kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Maka, tidaklah kamu memahaminya" -al-an'Am: ayat 32.
Mereka yang benar-benar beriman menganggap dunia sebagai medan perlumbaan untuk mentaati Allah SWT dan mencari keredhaanNya. Seluruh bidang hidupnya (ilmu, perniagaan, kekayaan, rumah, masa dan fikiran) diarahkan kepada Jalan Allah SWT. Islam telah ditetapkan oleh Allah SWT sebagai suatu sistem hidup yang sempurna. Telah ditentukan bahawa penilaian yang tinggi dan keuntungan hanya diberikan kepada mereka yang beriman serta menghayati Islam dalam kehidupan mereka.
“Demi masa. Sesunguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal saleh” -al-’Asr: ayat 1-3.
Mana-mana amalan yang tidak lahir daripada keimanan, maka ia tidak bernilai di sisi Allah SWT. Amalan saleh itu adalah buah Iman. Iman itu hidup dan bergerak melahirkan amalan yang soleh. Inilah Iman Islam. Iman itu bergerak, bekerja dan membangun menuju kepada matlamat redha Ilahi. Ia tidak semata-mata tersimpan beku di lubuk hati. Ia juga bukan semata-mata angan-angan atau sekadar niat baik sahaja tanpa diamalkan.
p.s. Semoga kita tergolong dalam golongan yang sentiasa mencari redha Allah.
No comments:
Post a Comment