Saturday, July 31, 2010

Forward: Ramadhan

Ramadhan kembali akan menyapa kita, masih ada waktu untuk kita memperbaiki diri. Mudah-mudahan saat kealpaan dan dosa-dosa kita selama ini diampunkan dengan kehadiran bulan maghfirah ini. Betapa banyak keberkatan dan kebaikan yang terdapat di dalam bulan Ramadhan. Maka kita wajib memanfaatkan kesempatan ini untuk bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benarnya dan beramal soleh, semoga kita termasuk orang-orang yang beruntung dan diterima amalannya.

Tidak dinafikan bahawa ada sebahagian orang mungkin berpuasa tetapi tidak solat atau hanya solat pada bulan Ramadhan sahaja. Orang seperti ini puasanya tidak bernilai sedikit pun kerana solat adalah sendi agama yang ia tidak dapat ditegakkan melainkan dengannya. Rasulullah bersabda,maksudnya : Jibril datang kepadaku dan berkata "Wahai Muhammad, siapa yang menemui bulan Ramadhan, namun setelah bulan itu habis dan ia tidak mendapat keampunan, maka jika ia mati ia akan masuk neraka".

Maka sewajarnya setiap detik yang berlalu pada bulan Ramadhan digunakan untuk melakukan amal kebaikan seperti solat, sedekah, membaca al-Quran, zikir, doa, dan istighfar. Ramadhan adalah kesempatan untuk kita menanam rasa kehambaan pada Allah dan membersihkan hati dari kerosakan. Justeru kita wajib menjaga anggota badan daripada melakukan dosa seperti mengumpat, berdusta atau melihat perkara yang haram, mendengar yang haram, meminum dan memakan makanan yang haram agar puasa kita menjadi bersih dan diterima olehNya.

Setiap orang yang mengaku beriman dengan kebesaran Allah pasti akan bergembira dengan ketibaan bulan Ramadhan kerana seperti yang dikatakan bahawa bulan Ramadhan adalah satu-satunya bulan yang penuh dengan rahmat dan keberkatan yang tidak terdapat di dalam bulan-bulan yang lain. Hanya orang yang mengenali kelebihan Ramadhan sahaja yang akan bersedia apabila menjelangnya bulan yang mulia ini. Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim menyebut :" apabila masuk bulan Ramadhan maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka serta diikat semua iblis dan syaitan".

Bulan puasa merupakan bulan latihan berjihad memerangi hawa nafsu dan bulan bercucuk tanam untuk bekalan di akhirat, bulan membersihkan dan menyucikan diri dari dosa dan noda serta menghiasi diri dengan budi pekerti yang tinggi dan luhur.

Oleh itu hendaklah kita menyediakan diri kita dalam melaksanakan hak puasa dengan perkataan-perkataan yang baik dengan sepenuh hati, jujur, dan ikhlas semata-mata kerana Allah.
 
Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya. 
 
Ramadhan adalah bulan umat Muhammad saw. Bersabda baginda yang bermaksud " Apabila tiba bulan Ramadhan maka akan dibukakan pintu-pintu syurga dan ditutupkan pintu-pintu neraka lalu diikatkan semua syaitan."

Sabda baginda dalam hadis yang lain, " Jika umat manusia itu mengetahui kelebihan yang terdapat di dalam bulan ramadhan nescaya umatku akan menginginkan supaya dijadikan sepanjang tahun itu Ramadhan"
  • Setiap amalan kebajikan akan digandakan oleh Allah sebanyak 1000 kali ganda.
  • Setiap amalan sunat akan diberikan ganjaran pahala amalan fardhu.
  • Ramadhan dibahagikan kepada tiga bahagian istimewa bagi mereka yang berpuasa iaitu bahagian pertamanya dipenuhi dengan rahmat Allah, bahagian kedua dipenuhi dengan keampunan dari Allah dan bahagian ketiga pembebasan dari api neraka.
  • Dituntut supaya mengerjakan solat sunat tarawikh, witir dan solat sunat yang lain.
  • Banyakkan berdoa, berzikirz selawat, membaca Al Quran, bertaubat dan lain-lain
  • Banyakkan bersedekah kepada fakir miskin dan membantu mereka yang berada di dalam kesusahan dan ditimpa kemalangan.
  • Memberi makan kepada mereka yang hendak berbuka puasa.
  • Menggandakan amalan sunat terutamanya pada 10 malam yang terakhir Ramadhan bagi mengharapkan keberkatan dan kebesaran malam Lailatul Qadar seperti beriktikaf di masjid, qiamullail dan sebagainya
1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-

2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh Imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-

3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-

4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-

5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaq

Persiapan Yang Perlu Dari Segi Rohani Dan Jasmani....

1) Mengulangi kembali pelajaran-pelajaran yang berkaitan dengan puasa agar kita memasuki dan menjalani ibadah puasa dengan pengetahuan dan yang diperbaharui dengan pedoman-pedoman yang baik serta pengalaman-pengalaman yang baru dan sempurna. Pelajaran-pelajaran samada yang berhubung dengan rukun, syarat sah, sebab-sebab yang membatalkan puasa, perkara-perkara sunat, makruh, adab berpuasa, dan hikmah-hikmahnya.

2) Membuat persiapan dari segi rohani iaitu merasai ketenangan jiwa dalam menghadapi bulan puasa sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah dan para sahabat baginda.

3) Membanyakkan doa semoga Allah memberikan kesihatan, tenaga, kelapangan, dan kesempatan mengerjakan puasa dan mudah-mudahan Allah memberikan taufiq dan hidayah-Nya supaya dapat menunaikan puasa dengan hati yang jujur, tulus ikhlas, dan dijauhi daripada sifat riya', ujub dan segala rupa penyakit yang menghilangkan pahala puasa.

4) Menguatkan semangat untuk melaksanakan latihan yang akan dijalani sepanjang bulan Ramadhan agar memperoleh kesan peningkatan ketakwaan kita.

Source: http://badlihisham.blogspot.com/2009_07_26_archive.html

No comments:

Post a Comment

Hak Sesama Muslim

Ada 6 Hak Sesama Muslim: Rasulullah Sallallahu Alayhi Wasallam bersabda: “Hak seorang muslim terhadap sesama muslim itu ada enam: 1. Jika ka...