Alhamdulillah isu yg makin sunyi...harap2 begitu juga dengan pelakunya... Atau hanya disebabkan ada isu lain yg lebih HOT. Tapi ketahuilah...betapa HOTnye neraka Allah swt utk mereka yg melakukan zina. Nauzubillah...
Saban
hari, dapat kita saksikan di setiap keratan-keratan akhbar tempatan
sama ada di muka depan mahupun di selitan muka dalam, terdapat
tajuk-tajuk berita yang barangkali sudah jemu dibaca. “Bayi dijumpai di sungai”, “Bayi lelaki dijumpai di dalam mangkuk tandas”
dan lain-lain tajuk lagi yang amat menggusarkan kita. Apabila bercerita
mengenai buang bayi, sudah tentu tak dapat dipisahkan daripada topik
‘pasangan yang terlanjur’ (jarang sekali mereka yang bernikah membuang
anak). Kita dapat lihat bagaimana pihak jabatan agama terpaksa bekerja
keras setiap hari dalam menghadapi kemelut ini dan paling menakjubkan
adalah betapa mereka yang ‘terlanjur’ tidak segan silu merakamkan
adegan-adegan sendiri, maka tersebarlah imej-imej dan video-video hebat
melalui internet dengan tajuk-tajuk memalukan, “pelajar kolej.3gp”, “budak 18 thn.3gp” dan lain-lain lagi.
Bukti-bukti
yang terpampang di depan mata sering diambil remeh oleh sesetengah
masyarakat kita. Seolah-olah kerosakan masyarakat kita berada pada tahap
minima. Mereka lebih menumpukan perkara-perkara remeh walhal perkara
sedemikian inilah yang patut ditumpu. Di manakah tahap kerosakan
masyarakat kita sekarang? Dan pernahkah anda terfikir sejauh manakah
bilangan mereka yang terbabit dalam perbuatan yang tidak bermoral ini?
Jikalau bukti melalui media di ambil kira untuk mengetahui tahap
kerosakan masyarakat kita, dengan sukanya saya menyenaraikan beberapa
kaedah terpilih untuk mengira secara kasar bilangan mereka yang
‘terlanjur’. Namun untuk setiap kaedah, terdapat persoalan-persoalan
yang perlu diperhalusi.
1.
Jikalau jumlah bayi terbuang yang ditemui diambil kira untuk menentukan
pasangan yang 'terlanjur', misalnya dalam jumlah sekian, berapakah pula
jumlah bayi yang tidak dijumpai langsung atau disorok? Bagaimana pula
dengan pasangan yang 'terlanjur' tetapi tidak/belum menghasilkan bayi? Adakah lebih ramai?
2.
Jikalau pasangan ‘terlanjur’ yang telah ditangkap khalwat oleh pihak
jabatan agama adalah dalam jumlah sekian, berapakah pula pasangan
‘terlanjur’ yang tidak dapat dikesan langsung? Bukankah lebih ramai?
3.
Jikalau pasangan ‘terlanjur’ dikira berdasarkan imej atau video yang
tersebar melalui internet, bagaimana pula dengan imej atau video yang
masih tersorok atau tersimpan rapi? Bagaimana pula dengan mereka yang
tidak langsung merakam adegan terkutuk itu? Tentu lebih ramai?
Dan
sekarang anda memilih kaedah mana untuk menentukan tahap kerosakan
masyarakat kita yakni mereka yang ‘terlanjur’? Ya, memang tidak
munasabah untuk menggunakan mana-mana kaedah, malah jika kita
menggabungkan kesemua kaedah-kaedah tersebut pun belum tentu untuk
mencapai bilangan sebenar jumlah mereka yang ‘terlanjur’. Malah, mana
mungkin dapat mewakili 5% daripada mereka yang 'terlanjur'? Itu baru
sahaja mereka yang ‘terlanjur’, bagaimana pula dengan mereka yang hanya
berjinak dengan aksi ‘ringan-ringan’? Astagfirullah, memang tidak dapat
digambarkan betapa sudah rosak masyarakat pada hari ini.
Couple penyumbang besar kepada pasangan yang ‘terlanjur’?
Sebut
pasal couple, pasti ramai tersenyum, topik yang acap kali dibincangkan
di mana-mana web dan blog. Pada dahulunya, budaya ini hanya didominasi
di kalangan remaja-remaja berumur 18 tahun ke atas, tapi pada hari ini,
anda boleh berjumpa mereka yang berumur 11 tahun pun sudah mempraktikkan
budaya ini. Amat menakjubkan bukan? Seolah-olah budaya ini berkembang
seiring dengan teknologi yang kian pesat membangun. Entah tidak dapat
dipastikan datang dari mana, budaya couple dikatakan tiba untuk memenuhi
fitrah naluri cinta untuk mereka yang belum berkahwin. Pasangan
ber'couple' akan berusaha untuk mengenal hati budi masing-masing dalam
tempoh-tempoh tertentu kononnya adalah persedian dalam menghadapi rumah
tangga. Dalam tempoh couple tersebut, mereka bakal mengecapi saat-saat
‘bahagia’nya, maka timbullah perkataan-perkataan ‘mandi tak basah’,
‘tidur tak lena’ dan ‘makan tak kenyang’. Masing-masing sedang berada
dalam keadaan angau, saling berhubung tidak kira berjumpa, ber’sms’,
ber’yahoomessenger’ atau/dan ber’facebook’ untuk memenuhi perasaan rindu
yang terpendam dalam hati masing-masing. Proses ini berulang-berulang
berhari-hari, berminggu-minggu, dan berbulan-bulan lamanya dengan
harapan tiba ke jinjang pelamin, namun malangnya kebanyakkannya gagal.
Apabila dikatakan tidak serasi, mereka akan putus. Begitulah
berlangsungnya budaya ini, couple-putus, couple-putus, couple-putus,
sehinggalah dikatakan serasi barulah mereka dikatakan yakin untuk ke
jinjang pelamin.
Kisah
budaya ini tidak semudah ini sahaja, kebanyakkannya terselit dengan
'peristiwa' yang tidak tersengaja yakni apa yang kita panggil
‘terlanjur’. Agak pelik bukan bagaimana 'peristiwa' sedemikian boleh
berlaku secara tidak sengaja sedangkan proses-proses yang dibincangkan
tadi memang menjurus kepada 'peristiwa' itu. Apabila berlaku 'peristiwa'
itu, pihak yang beruntung sudah tentu salah satu kaum dari pasangan
terbabit yang dipanggil lelaki! Kerana mereka dapat ‘merasa’ pelbagai
nikmat atas nama ‘cinta’. Tetapi yang bakal merana, menanti kesudahan
peristiwa itu tidak lain adalah kaum hawa.
Wahai
kaum muslimah, tidak sedarkah kalian, di sebalik anda semua mengejar
cinta, para lelaki pula mengejar ‘cinta’ yang sebaliknya. Anda sering
berdalih mengatakan pasangan anda berbeza dengan yang lain, baik dan
segala pujian buat mereka, tetapi selang berapa lama kemudian, lelaki
yang dikatakan berbeza itu akan menjadi tidak berbeza pula. Ketahuilah
jika anda kata pasangan anda adalah ‘baik’, yang sebenarnya sebaik-baik
insan itu adalah mereka yang tidak terjebak dalam budaya yang menjurus
kepada ‘terlanjur’ ini.
Allah telah berfirman, "Perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik" (an-Nur :26)
Sebagai
penutup kata, perihal mengenai buang bayi tidak akan sampai ke
penghujung jika kita masih tidak sedar akan pangkal asalnya. Alangkah
lebih baik jika kita mencegah daripada merawat. Seringkali kita melontar
kekecewaan terhadap mereka yang membuang bayi sedangkan kita sedang
diseliputi budaya yang menjurus kepada pembuangan bayi tersebut. Selagi
kita duduk mempertahankan budaya ini, selagi itulah berita-berita
menyentuh jiwa ini tersebar meluas. Tidak cukupkah lagi dengan komentar
para ustaz mahupon ilmuan tempatan yang mengulas mengenai isu ini?
Mereka yang mempertahankan couple sering berselindung di atas hujah
seorang yang dipanggil 'ustaz' sedangkan jumhur yang lain berkata
sebaliknya. Mengapakah tidak mengikut jalan majoriti tetapi mengikut
jalan minoriti ibarat bertanyakan hukum merokok daripada 'ustaz' yang
merokok? Jangankan bila sudah tertanam benih yang haram baru hendak
bertaubat. Nauzubillah… sesungguhnya kita sudah berada pada penghujung
zaman seperti yang diperkatakan nabi.
"Dan
tinggallah manusia-manusia yang buruk, yang seenaknya melakukan zina
seperti himar (keldai). Maka pada zaman mereka inilah kiamat akan
datang. ( Hadis Riwayat Muslim)
Tidak
hairanlah jika zaman mak bapa kita dulu, apabila tersebarnya kisah
pasangan yang ‘terlanjur’ berusia dalam lingkungan 18 tahun pun sudah
heboh satu kampung. Tetapi pada hari ini, kisah pasangan yang
‘terlanjur’ berusia 13 tahun sudah menjadi lumrah kehidupan, sejajar
dengan tersebarnya budaya couple di kalangan mereka. Dan akhir kata,
istilah ‘terlanjur’ barangkali tidak sesuai digunakan kerana ianya
seolah-olah suatu pelakuan yang tidak disengajakan. Jika mereka yang
ber'couple' bakal melalui proses-proses ke arah 'terlanjur', lebih molek
jika digantikan dengan istilah ‘melanjur’. Untuk apa ber’couple’ jika
mereka memang sudah mengetahui bakal 'tak sengaja melanjur'? Tepuk dada,
tanya iman. Sekian.
p/s:
Istilah ‘terlanjur’ dan ‘melanjur’ pada artikel di atas hanyalah
retoris kritis semata-mata. Untuk penggunaan istilah yang tepat, sila
rujuk Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka.