Wednesday, March 31, 2010

Islam Kembali Dagang


Hadith Akhir Zaman
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w.: “Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing). Dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang-orang yang asing”.
H.R. Hakim
Keterangan
Islam mulai tersebar di Mekah dengan keadaan yang sangat asing dan dagang. Sangat sedikit pendukungnya kalau dibandingkan dengan penentangnya. Kemudian setelah Islam mula tersebar ke seluruh pelosok dunia sehingga dianuti oleh 2/3 penduduk dunia. Kemudian Islam kembali asing dan dirasa ganjil dari pandangan dunia, bahkan dari pandangan orang Islam sendiri. Sebahagian daripada orang Islam merasa ganjil dan pelik apabila melihat orang Islam yang iltizam (komited) dengan Islam dan cuba mengamalkan tuntutan Islam yang sebenar. Seorang yang iltizam dipandang sepi oleh masyarakat dan terlalu susah untuk diterima sebagai individu yang sihat. Contohnya, kalau ada sesuatu program kemasyarakatan kemudian masuk waktu sembahyang, tiba-tiba ada seorang yang meminta diri untuk menunaikan sembahyang, maka tindakan itu dianggap tidak sopan dan kurang wajar. Sedangkan orang yang tidak sembahyang sambil bersenda-senda ketika orang lain bersembahyang tidak dianggap sebagai perbuatan yang salah dan terkutuk.
Begitulah seterusnya nasib Islam di akhir zaman ini………………..
Ia akan terasing dan tersisih dari masyarakat, bahkan tersisih dari pandangan orang Islam sendiri yang mengaku sebagai umat Islam dan marah apabila dikatakan yang dia bukan orang Islam.

Monday, March 29, 2010

Penyakit Umat-umat Dahulu


Hadith Akhir Zaman
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat terdahulu”. Sahabat bertanya, “Apakah penyakit-penyakit umat-umat terdahulu itu?” Nabi s.a.w. menjawab, “Penyakit-penyakit itu adalah: (1) terlalu banyak seronok (2) terlalu mewah (3) menghimpun harta sebanyak mungkin (4) tipu menipu dalam merebut harta benda dunia (5) saling memarahi (6) hasut menghasut sehingga zalim menzalimi”.
H.R. Hakim
Keterangan
Penyakit-penyakit yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w. tadi telah banyak kita lihat di kalangan kaum Muslimin pada hari ini.
Di sana sini kita dapat lihat penyakit ini merebak dan menjalar dalam masyarakat dengan maraknya. Dunia Islam dilanda krisis rohani yang sangat hebat. Dengan kekosongan rohani itulah mereka terpaksa mencari dan mengumpul harta benda sebanyak-banyaknya untuk memuaskan hawa nafsu. Maka apabila hawa nafsu diperturutkan tentunya mereka terpaksa menggunakan segala macam cara dan tipu helah. Di saat itu, hilanglah nilai-nilai akhlak dan wujudnya kecurangan, khianat, hasad dengki dan sebagainya.
Marilah kita ambil iktibar. Renung makna hadith ini, dan marilah kita muhasabah diri masing-masing.

Saturday, March 27, 2010

Soalan 8, 9, 10 & 11

Soalan 8
Adakah boleh jika makan di restoran yang menjual makanan haram seperti arak dan babi. Tapi, kita yakin yang makanan yang kita makan adalah halal kerana ianya merupakan sayuran sahaja (vegetarian)?

Jawapan:  
Sebagai seorang Islam, wajib bagi kita untuk mencari yang makanan halal. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 168 yang bermaksud:

"Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi.........."

Oleh yang demikian, saudari dinasihatkan agar menjaga sebarang makanan yang akan dimakan kerana ia akan menjadi darah daging kita. Justeru itu, jika saudari ragu-ragu tentang kesuciannya maka tinggalkanlah. Pendapat saya, jika ada restoran lain yang hanya menjual makanan halal, bertukarlah ke sana kerana dikhuatiri makanan saudari itu akan bercampur dengan sumber-sumber haram secara sengaja atau tidak sengaja. Namun, perkara utama yang ditekankan adalah saudari mestilah benar-benar yakin makanan yang dipilih itu benar-benar halal tanpa sedikit pun rasa was-was. Jika tidak tinggalkanlah ia. Sesungguhnya lebih baik saudari berlapar daripada makan makanan yang tidak diketahui halal haramnya.


Soalan 9
Ada non-muslim bertanya saya, iaitu serigala lebih kurang dengan anjing dari segi rupa dan perangai, tetapi mengapa anjing haram sedangkan serigala tidak. Boleh bagi pandangan tak.

Jawapan:

Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi, dan binatang yang (ketika disembelih) disebut (nama) selain Allah. Tetapi barangsiapa dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Surah Al-Baqarah:173)
Pertama, anjing telah jelas disebut dalam Quran dan hadis nabi SAW sebagai najis mughallazah, tetapi mengenai serigala tidak pula disebut. Kedua, dari segi sains pun sebenarnya serigala mempunyai perbezaan yang ketara dari segi keturunannya dan cara kehidupannya jika dibandingkan dengan anjing. So, ada perbezaan di situ. 


Soalan 10
Saya diberitahu bahawa alat muzik seperti drum, gitar (alat muzik bertali), alat muzik tiupan (seruling dll) adalah haram. Hanya kompang dan seumpamanya dibenarkan. Kemudian saya pernah terbaca/terdengar bahawa itu hanyalah ijtihad ulama pada zaman silam utk menyekat pengaruh muzik barat pada zaman penjajahan Barat dahulu. Saya tidak pasti manakah yg benar. Zaman sekarang saya dapati muzik nasyid juga menggunakan pelbagai alat yg canggih seperti keyboard dan orkestra. Macam mana keadaan ini boleh berlaku?

Jawapan:
"Harus menggunakan alat-alat muzik sama ada bersifat tradisi atau moden. Mendengar atau menghadiri majlis muzik dan mempelajarinya sekiranya tiada disertai dengan perkara-perkara haram. ( Fatwa Negeri Kedah)

Namun, apa yang ditekankan di sini adalah menggunakan alat-alat muzik tersebut bukan berlaku di tempat-tempat hiburan yang disertai dengan arak, judi, perempuan-perempuan penyanyi dan pelayan, tari menari dan lain-lain perkara kefasiqan selama tiada kelalaian dan kewajipan-kewajipan khusus seperti solat..


Soalan 11
Boleh atau tidak sama ada orang bukan Islam memasuki masjid/surau? 
   
Jawapan: 
Berdasarkan ilmu saya, boleh orang bukan Islam memasuki masjid / surau dengan syarat mengikut adab-adab yang dibolehkan oleh syara' ketika menziarahi masjid / surau seperti menutup aurat dan dalam keadaan suci / bersih. Suci/bersih itu adalah mengikut suci/bersih yang digariskan oleh Islam.


Sesungguhnya banyak yang saya masih tak tahu. So, andai jawapan saya meragukan or tidak cukup untuk menjawab soalan saudara or saudari. Sila bertanya kepada yg lebih arif or banyakan bertanya keran ianya boleh menguatkan lagi kefahaman anda.

Kenali Tuhan Kita : Qidam

Qidam ertinya sedia

Sifat sedia pada Tuhan tidak sama dengan sifat sedia pada makhluk. Sedianya Tuhan tiada permulaan tetapi sedia pada makhluk ada permulaan dan ada yang menyediakannya.

Contoh:- tersedianya makanan, disebabkan ada yang menyediakannya/memasaknya. Dan adanya seseorang manusia itu disebabkan hubungan ibu bapanya, dengan kata lain bermula dari ibu bapanya. Namun, kedua-dua contoh ini, tidak akan terjadi tanpa keizinan Allah s.w.t. (Allah maha besar, maha kuasa)

Allah berfirman:

Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Ibrahim tanda-tanda keagungan (Kami yang terdapat) di langit dan bumi dan (Kami memperlihatkannya) agar dia termasuk orang yang yakin. (Surah Al An'aam: 75)


 Dan Dialah yang menurunkan air hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu segala macam tumbuh-tumbuhan maka Kami keluarkan dari tumbuh-tumbuhan itu tanaman yang menghijau. Kami keluarkan dari tanaman yang menghijau itu butir yang banyak; dan dari mayang korma mengurai tangkai-tangkai yang menjulai, dan kebun-kebun anggur, dan (Kami keluarkan pula) zaitun dan delima yang serupa dan yang tidak serupa. Perhatikanlah buahnya di waktu pohonnya berbuah dan (perhatikan pulalah) kematangannya. Sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman. (Surah Al An'aam: 99)

Dan Dialah yang meniupkan angin sebagai pembawa berita gembira sebelum kedatangan rahmat-Nya (hujan); hingga apabila angin itu telah membawa awan mendung, Kami halau ke suatu daerah yang tandus, lalu Kami turunkan hujan di daerah itu, maka Kami keluarkan dengan sebab hujan itu pelbagai macam buah-buahan. Seperti itulah Kami membangkitkan orang-orang yang telah mati, mudah-mudahan kamu mengambil pelajaran. (Surah Al A'raaf: 57)

Katakanlah: "Siapakah yang memberi rezki kepadamu dari langit dan bumi, atau siapakah yang kuasa (menciptakan) pendengaran dan penglihatan, dan siapakah yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup dan siapakah yang mengatur segala urusan?" Maka mereka akan menjawab: "Allah." Maka katakanlah "Mangapa kamu tidak bertakwa kepada-Nya)?" 
(Surah Yunus: 31)

Musa menjawab: "Tuhan Pencipta langit dan bumi dan apa-apa yang di antara keduanya (Itulah Tuhanmu), jika kamu sekalian (orang-orang) mempercayai-Nya." (Surah Asy Syu'araa': 24)

Hai manusia, ingatlah akan nikmat Allah kepadamu. Adakah pencipta selain Allah yang dapat memberikan rezki kepada kamu dari langit dan bumi ? Tidak ada Tuhan selain Dia; maka mengapakah kamu berpaling (dari ketauhidan)? (Surah Fathir: 3)

Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingat kebesaran Allah.
(Surah Adz Dzaariyaat: 49)

Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.  (Surah Ar Ruum: 21)

Kita wajib mengenal dan merasakan sifat-sifat Tuhan itu sehingga kita menjadi cinta dan takut kepada Nya. Bila rasa cinta dan takut telah bertapak dalam hati kita, barulah hati kita akan mengarahkan akal, nafsu dan fizikal kita untuk taat kepada tuhan. Itulah yang dikatakan iman, iaitu keyakinan yang bertapak di hati lalu dilahirkan dengan amal ibadah dan membuahkan akhlak yang mulia.

Friday, March 26, 2010

Azab Kubur

Berikut kami datangkan 23 hadith-hadith yang sahih yang mana 21 buah hadith daripadanya diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang terang-terang menyebutkan tentang sabitnya kewujudan azab kubur.

1. Dari Barra' bin 'Azib r. a. bahawa Nabi saw berdoa semasa tiba diperkuburan Baqi' Al-Gharqad : "Aku mohon berlindung dengan Allah Taala dari azab kubur."(Hadith Sahih Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, Nasaai, Ibn Majah, Al-Hakim dan Ibn Hibban.)

2. Dari Barra' bin 'Azib r. a. bahawa Nabi saw menceritakan hadith yang panjang tentang datang malaikat kepada mayat didalam kubur sehingga sabdanya "... dan dibukakan bagi mayat yang jahat itu akan satu pintu kepada neraka maka datang akan dia kepanasan api neraka tersebut dan pedihnya dan sempitlah atasnya oleh kuburnya sehingga berselisishlah segala tulang rusuknya.." (Hadith Sahih Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, Thoyalisi, Baihaqi, Ibn Abi Syaibah, Al-Hakim, Abd Razzaq, Ibn Mandah, Abu Nu'aim dan At-Thobari.)

3. Dari Ibn 'Abbas r. a. ketika Nabi saw apabila lalu dekat 2 buah kubur baginda bersabda : "Sungguhnya kedua mayat ini sedang diazab. Bukanlah keduanya diazab sebab dosa yang terlalu besar. Adapun salah seorangnya tidak bersuci dari kencing. Dan seorang lagi kerana berjalan kesana kemari mengadu domba. Maka Nabi saw meminta dengan pelepah tamar yang basah lalu dipatahkan kepada dua bahagian dan dipacakkan kepada dua buah kubur tersebut. Dan Nabi saw pun bersabda : Mudah-mudahan diringankan dari kedua mayat ini selama pelepah ini belum kering." (Hadith Sahih Riwayat Imam Bukhari dan Muslim. Juga diriwayatkan oleh Abu Daud , Tirmizi, Ibn Majah, Nasaai, Imam Ahmad, Ibn Abi Syaibah, Baihaqi, Baghawi, Ad-Darimi, Ibn Mandah dan Thoyalisi.)

4. Daripada Abdullah bin Umar r. a. bahawa Nabi saw bersabda : "Sungguhnya mayat itu diazab dengan sebab ratapan ahlinya keatasnya." (Hadith Sahih Imam Riwayat Bukhari)

5. Daripada Umar r. a. bahawa Nabi saw bersabda :

"Bahawasanya mayat itu akan diazab dengan sebab sebahagian ratapan ahlinya keatasnya."
(Hadith Sahih Riwayat Imam Bukhari)

6. Daripada A'iyah r. a. bahawa Nabi saw ketika lalu dekat keluarga Yahudi yang sedang maratapi mayat salah seorang ahli keluarga mereka lalu bersabda :

"Kamu sekelian menangisi atasnya dan sungguhnya dia diazab didalam kuburnya "
(Hadith Sahih Riwayat Imam Bukhari)

7. Daripada Umar r. a. sungguhnya Nabi saw bersabda : "Sungguhnya mayat itu diazab dengan sebab ratapan orang yang hidup." (Hadith Sahih Riwayat Imam Bukhari)

8. Daripada A'isyah r. a. sesungguhnya Nabi saw bersabda :"Sungguhnya Allah swt akan menambah bagi orang kafir akan azab dengan sebab ratapan ahlinya keatasnya."
(Hadith Sahih Riwayat Imam Bukhari)

9. Dari Barra' bin 'Azib bahawa Nabi saw bersabda : "Apabila didudukkan mayat yang mukmin didalam kuburnya kemudian didatangi oleh malaikat dan ia pun bersaksi bahawa Tiada Tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Yang demikian itu adalah FirmanNya 'Telah menetapkan olih Allah akan orang-orang yang beriman dengan perkataan yang tetap' (Surah Ghafir ayat 45) telah turun ayat ini tentang azab kubur." (Hadith Sahih Riwayat Imam Bukhari)

10. Daripada A'isyah r. a. bahawa beliau telah bertanya Rasulullah saw tentang azab kubur maka jawab Rasulullah saw : "Ya. Azab kubur itu memang benar."

Berkata A'isyah r. a. : "Tiadalah selepas itu aku lihat Rasulullah saw selepas menunaikan solat melainkan minta berlindung daripada azab kubur."
(Hadith Sahih Riwayat Imam Bukhari)

11. Daripada Anas bin Malik r. a. bahawa Nabi saw bersabda tentang mayat kafir dan munafiq didalam kubur mereka:

"Dan dipukul akan mayat itu dengan pemukul daripada besi dengan satu pukulan. Maka bertempik mayat itu dengan satu tempikan yang mendengar akan dia oleh sekelian yang disisinya melainkan jin dan manusia." (Hadith sahih riwayat Imam Bukhari)

12. Daripada Abi Ayyub r. a. bahawa suatu hari Nabi saw terdengar satu suara lalu baginda bersabda : "Mayat Yahudi yang sedang diazab didalam kuburnya." (Hadith Sahih Riwayat Imam Bukhari)

13. Daripada anak perempuan bagi Khalid bin Said Ibn Al-'Ass bahawa dia telah mendengar "Nabi saw berdoa memohon perlindungan daripada azab kubur." (Hadith Sahih Riwayat Imam Bukhari)

14. Daripada Abi Hurairah r. a. beliau berkata : "Adalah Rasulullah saw berdoa : Ya Allah! Sungguhnya aku minta berlindung dengan Engkau daripada azab kubur dan azab neraka.." (Hadith Sahih Riwayat Imam Bukhari)

15. Dari Ibn Umar r. a. adalah Rasulullah saw bersabda : "Sesungguhnya Allah swt tidak mengazab akan mayat dengan sebab mengalir air mata atau dengan sebab bersedih hati tetapi mengazab Ia akan mayat dengan sebab lidah ataupun mengasihani." (Hadith Sahih Riwayat Imam Muslim)

16. Dari Syu'bah r. a. beliau berkata : "Telah turun ayat 45 Surah Ghafir berkenaan azab kubur." (Hadith Sahih Riwayat Imam Muslim)

17. Daripada A'isyah r. a. bahawa Nabi saw bersabda : "Bahawasanya azab kubur itu sesungguhnya memang benar." (Hadith Sahih Riwayat Imam Muslim)

18. Daripada Anas r. a. adalah suatu hari Nabi saw lalu pada kampung Bani Najjar maka tedengar ia akan satu suara dari satu kubur maka baginda pun bersabda : "Bilakahkah ditanam akan tuan punya kubur ini"

Jawab para sahabat :"Pada zaman jahiliyyah"

Maka Nabi saw bersabda : "Jikalaulah tidak kerana ianya ditanam nescaya telah aku minta supaya Allah perdengarkan kamu sekelian akan azab kubur."
(Hadith Sahih Riwayat Imam Muslim)

19. Daripada Abdullah bin Umar r. a. bahawa Nabi saw bersabda : "Sesungguhnya mayat itu diazab didalam kuburnya." (Hadith Sahih Riwayat Imam Muslim)

20. Daripada A'isyah r. a. berkata kepada Nabi saw bahawa 2 orang tua Yahudi berkata adalah ahli kubur itu diazab didalam kubur mereka itu. Maka Nabi saw pun bersabda : "Benarlah kata mereka berdua. Sungguhnya mayat-mayat itu diazab didalam kubur mereka sehingga mendengar akan dia oleh sekelian binatang." (Hadith Sahih Riwayat Imam Muslim)

21. Daripada Abi Hurairah r. a. bahawasanya Nabi saw bersabda :

"Apabila selesai kamu daripada membaca tasyahhud akhir maka hendaklah kamu minta berlindung dengan Allah swt dari empat perkara yaitu dari azab neraka Jahannam dan dari azab kubur dan dari fitnah hidup dan fitnah mati dan dari fitnah Dajjal."
(Hadith Sahih Riwayat Imam Muslim)

22. Daripada Ibn Abbas r. a. berkata "Bahawasanya Nabi saw mengajar akan mereka itu akan doa ini seperti mana baginda mengajar mereka itu akan Surah dari Al-Quran yaitu "Wahai Allah! Sungguhnyaaku memohon berlindung dengan Mu daripada azab Jahannam dan daripada azab kubur dan daripada fitnah hidup dan mati dan daripada fitnah Al-Masih Dajjal." (Hadith Sahih Riwayat Imam Muslim)

23. Daripada Anas Bin Malik r. a. bahawasanya Nabi saw bercerita tentang mayat kafir didalam kubur : "Kemudian dipukul akan mayat tersebut dengan satu pemukul daripada besi pada antara dua telinganya." (Hadith Sahih Riwayat Imam Muslim)

Begitu pedihnya azab Allah s.w.t. walaupun hanya di alam kubur. Bagaimanakah mungkin kita mampu menanggungnya. Inikan pula azab neraka. Sedarlah rakan-rakan, berhijrahlah, bertaubatlah, ajaklah manusia kea rah kebaikan dan cegah kemungkaran kerana pintu taubat masih terbuka luas buat hamba-hambaNya yg ingin bertaubat. Kita sbg manusia yg beruntung masih dipelihara iman dan islamnya, berusahalah untuk menarik hidayah Allah s.w.t. agar turun di tempat kita.

Golongan Yang Sentiasa Menang


Hadith Akhir Zaman
Daripada Mughirah bin Syu’bah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sentiasa di kalangan kamu ada golongan yang berjaya (dalam perjuangan mereka), sehinggalah sampai suatu saat yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. Mereka sentiasa Berjaya”.
H.R. Bukhari
Keterangan
Allah s.w.t. telah menjadikan umat Islam (umat Muhammad) ini umat yang terakhir sekali. Oleh itu, Allah s.w.t. berjanji akan memelihara kitabnya (al-Quran) dan memastikan lahirnya generasi demi generasi yang akan memikul tugas dakwah hingga tetap wujudnya golongan mukminin di atas muka bumi ini. Kalau kita meneliti sejarah umat Islam mulai zaman permulaan penyebarannya hingga ke hari ini, kita akan mendapati bahawa umat Islam telah teruji sepanjang sejarah dengan ujian yang berat-berat. Ujian itu bermula dari golongan musyrikin di Mekah dan munafiqin, Yahudi dan Nasrani di Madinah, seterusnya gerakan riddah, Majusi yang berselimutkan Islam, golongan Bathiniyah, pengaruh falsafah dan pemikiran Yunani, serangan bangsa Monghol dan bangsa Tatar yang menghancurkan tamadun Baghdad pada pertengahan abad keenam Hijrah. Begitu juga dengan penyembelihan beramai-ramai kaum Muslimin ketika berlakunya kejatuhan kerajaan Islam di Andalus (Sepanyol) dan seterusnya di sambung dengan pengaruh-pengaruh imperialis Barat terhadap dunia Islam, gerakan Zionis Yahudi dan missionary Nasrani yang mempunyai peralatan dan kemudahan yang canggih-canggih dan seterusnya serangan (pengaruh) dari segi pemikiran dan kebudayaan dan sebagainya.
Walaupun ujian yang sangat dahsyat melanda umat Islam di sepanjang sejarah namun kita masih wujud dan masih lagi mempunyai identiti dan peranan yang hebat dalam peta dunia pada hari ini. Di manakah sumbangan kita? Apa peranan kita? Walaupun pada hari ini ada dalam kalangan umat Islam yang tidak mengambil berat langsung tentang agama Islam tetapi masih ada golongan yang bersungguh-sungguh untuk mempelajari dan memperjuangkan agama Islam. Walaupun ramai umat Islam yang telah hancur akhlaknya tetapi masih ada lagi golongan yang berakhlak tinggi dan berpekerti luhur. Walaupun syiar-syiar Islam diperlekahkan oleh agama-agama lain namun Islam masih lagi gagah dan teguh. Walaupun aktivis-aktivis Islam ditindas dan diseksa pada suatu tempat tetapi di suatu tempat yang lain mereka disanjung dan dihormati. Begitulah, umat Islam tidak akan lenyap dari muka bumi ini melainkan kehendak Allah s.w.t. Pada masa yang dikehendakiNya, maka lenyaplah umat Islam, pada masa itu Allah s.w.t. akan mematikan setiap jiwa yang beriman dan yang tinggal hanyalah orang-orang yang jahat dan orang kafir. Maka, pada saat itulah akan berlaku hari qiamat.

Thursday, March 25, 2010

Golongan Anti Hadith


Hadith Akhir Zaman
Daripada Miqdam bin Ma’dikariba r.a. berkata: Bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: Hampir tiba suatu masa di mana seorang lelaki sedang duduk bersandar di atas katilnya, lalu disampaikan orang kepadanya sebuah hadith daripada hadithku maka ia berkata: “Pegangan kami dan kamu hanyalah kitabullah (al-Quran) sahaja. Apa yang dihalalkan oleh al-Quran kami halalkan. Dan apa yang ia haramkan kami haramkan”. (Kemudian Nabi s.a.w. melanjutkan sabdanya): “Padahal apa yang diharamkan oleh Rasulullah s.a.w. samalah hukumnya dengan apa yang diharamkan oleh Allah s.w.t.”.
H.R. Abu Daud dan Ibnu Majah
Keterangan
Lelaki yang dimaksudkan di dalam hadith ini adalah seorang yang mengingkari kedudukan hadith sebagai sumber hukum yang kedua selepas al-Quran. Ia hanya percaya  kepada al-Quran sahaja. Baginya, hadith tidak perlu untuk dijadikan sumber hukum dan tempat rujukan. Golongan ini tidak syak lagi telah terkeluar dari agama Islam. Dan pada realitinya seseorang itu tidak akan dapat memahami al-Quran jika tidak merujuk kepada hadith Nabi s.a.w. Al-Quran banyak menerangkan hal-hal yang besar dan garis panduan umum. Maka, hadithlah yang berfungsi untuk memperincikan isi dan kandungan serta kehendak ayat-ayat al-Quran serta menghuraikan dan menerangkan yang musykil. Oleh kerana itu, syariat tidak akan sempurna kalau hanya dengan al-Quran sahaja, tetapi ia mesti disertai dengan hadith Nabi s.a.w.
Al-Quran perlu dibaca dengan memahami maknanya sekali. Barulah boleh ia diamalkan dalam kehidupan seharian kita. Maka, hadith juga perlu dipelajari atau dibaca bagi memahami isi kandungan al-Quran. Jika tidak, kita sebagai manusia biasa tidak mampu untuk mentafsirkan isi kandungan al-Quran. Lebih-lebih lagi, bahasa Arab bukan bahasa yang kita fahami. Ayuh!! Hayati dan amalkan al-Quran.

Berbuat baiklah kamu!!!

“Empat perkara daripada kebahagiaan, isteri yang baik, tempat tinggal yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa. Empat daripada kecelakaan, isteri yang jahat, jiran yang jahat, kenderaan yang buruk dan tempat tinggal yang sempit.”
[Hadith riwayat Ibnu Hibban]

“Senyumanmu untuk saudaramu bagimu pahala sedekah. Suruhanmu kepada kebaikan dan laranganmu daripada kemungkaran, bagimu pahala sedekah. Panduanmu buat orang yang tersesat perjalanan, bagimu pahala sedekah. Pimpinanmu buat orang buta, bagimu pahala sedekah. Engkau membuang batu, duri dan tulang daripada jalan, bagimu pahala sedekah. Engkau memindah air daripada bekasmu ke dalam bekas saudaramu, bagimu sedekah.”
[Hadith riwayat at-Tirmizi]

Hidup biar berbakti walau tidak dipuji…

Buatlah sesuatu yang disukai oleh Allah s.w.t. walaupun ramai memandang serong terhadapnya. Tinggalkanlah sesuatu yang dimurkai Allah s.w.t. walaupun ramai yang menyukainya…

Tuesday, March 23, 2010

Umat Islam Mengikuti Langkah-langkah Yahudi dan Nasrani


Hadith Akhir Zaman
Daripada Abu Sa’id Al-Khudri r.a. berkata: Bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Kamu akan mengikuti jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka”. Sahabat bertanya, “Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang kau maksudkan?”. Nabi s.a.w. menjawab, “Siapa lagi kalau bukan mereka”.
H.R. Muslim
Keterangan
Umat Islam akan mengikuti jejak langkah ataupun cara hidup orang-orang Yahudi dan Nasrani, hinggalah dalam urusan yang kecil dan perkara-perkara yang tidak munasabah. Contohnya, jikalau orang Yahudi dan Nasrani masuk ke lubang biawak yang kotor dan sempit sekalipun, orang Islam akan terus mengikuti mereka.
Zaman sekarang ini kita dapat lihat kebenaran kata-kata Nabi s.a.w. ini. Ramai orang Islam yang kehilangan pegangan di dalam kehidupan mereka. Mereka banyak meniru cara hidup Yahudi dan Nasrani samada mereka sedar ataupun tidak. Ramai orang Islam yang telah terperangkap dengan tipu helah orang Yahudi dan Nasrani dan ramai pula orang Islam yang menjadi alat dan tali barut mereka. Nauzubillah…
Lihatlah cara hidup kita, dari segi pemakanan, pemakaian, pergaulan, pertuturan hinggalah dalam segala urusan kehidupan kita telah banyak dipengaruhi cara hidup mereka. Di manakah al-Quran dan as-sunnah dalam menjadi panduan hidup kita? Adakah dek kerana kita tidak memahami atau mengetahui sumber utama Islam ini menjadikan kita jauh dari nilai-nilai Islam sebenar? Apakah usaha kita? Jangan menyesal di kemudian hari. Jadilah golongan manusia yang sedikit bilangannya namun memberi manfaat yang besar kepada agama Islam.
Ya Allah! Selamatkanlah kami daripada tipu daya Yahudi dan Nasrani.

Kenali Tuhan Kita : Wujud


Wujud ertinya Ada
Dengan kata lain Wajib bagi Allah itu ada. Sifat wujud bagi Allah tak sama dengan sifat wujud pada makhluk seperti kita. Adanya semua makhluk di alam ini kerana ada yang menjadikannya iaitu Allah. Wujudnya Allah tidak seperti kita, sebab wujudnya Tuhan itu tidak bersebab, tidak dijadikan oleh sesiapa atau apa pun. Tetapi adanya kita ini disebabkan oleh adanya ibubapa kita. Sama seperti kejadian lain seperti kenyang disebabkan oleh makan, hilang dahaga disebabkan oleh minum, mati disebabkan sakit. Tiap-tiap sesuatu itu terjadi kerana ada sebabnya. Bahkan semua itu berlaku disebabkan keizinan Tuhan. Tetapi sifat wujud pada Tuhan sebaliknya. 

Surah Al-Ikhlas
1. Katakanlah: "Dia-lah Allah, Yang Maha Esa.
2. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu.
3. Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan,
4. dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia."

HUBUNGAN SURAH AL IKHLAS DENGAN SURAH AL FALAQ

Surah Al Ikhlas menegaskan kemurnian Allah s.w.t. manakala surah Al Falaq memerintahkan agar semata-mata kepada-Nya-lah orang memohon perlindungan dari segala macam kejahatan.

Kita wajib mengenal dan merasakan sifat-sifat Tuhan itu sehingga kita menjadi cinta dan takut kepada Nya. Bila rasa cinta dan takut telah bertapak dalam hati kita, barulah hati kita akan mengarahkan akal, nafsu dan fizikal kita untuk taat kepada tuhan. Itulah yang dikatakan iman, iaitu keyakinan yang bertapak di hati lalu dilahirkan dengan amal ibadah dan membuahkan akhlak yang mulia.

Sekapur Sirih (Intro)

Orang mukmin yang baik sama seperti sebatang pokok kalau pokoknya subur, itu adalah kesan dari akar tunjang yang kuat. Yang menjadikan ianya berdaun, menghijau, menghasilkan bunga yang cantik dan harum mewangi serta buah yang banyak lagi sedap rasanya sehingga menjadikan semua makhluk terutama manusia mendekati dan bernaung di bawahnya serta mengambil manfaat darinya.

Begitulah bagi mereka yang aqidahnya baik, syariatnya jadi sempurna dan akhlaknya cantik hingga dia mencorak hidup individu dan masyarakat. Di sinilah pentingnya pelajaran aqidah atau usuluddin ini kerana ia boleh mencorakkan hati seseorang. Sehingga yang lahir dalam tindakan, adalah gambaran hatinya itu.

Dalam hadith Rasulullah s.a.w. ada menyebutkan yang bermaksud:

“Awal-awal agama ialah mengenal Allah”

Mengenal Tuhan itu pula tidak cukup sekadar tahu tentang Tuhan atau tahu tentang sifat-sifat Tuhan secara ilmunya, tetapi hendaklah merasakannya di hati. Akal mengetahui dan hati merasakan betapa Tuhan itu Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Pengampun, Maha Hebat, Maha Baik, Maha Pemaaf, Maha Pembela dan lain-lain.

Setelah hati ada rasa bertuhan, secara automatik hati akan dipenuhi rasa kehambaan iaitu rasa lemah, rasa berdosa, rasa bergantung harap kepadaNya, rasa cinta da takut dengan Tuhan sepertimana yang dirasakan oleh para sahabat yang dididik oleh Rasulullah s.a.w. lebih 1400 tahun dahulu.

Apabila sudah ramai manusia yang mempunyai akal dan hati seperti itu, maka lahirlah kehidupan dunia yang aman makmur seperti syurga sebelum syurga yang kita impikan. Kerana hati yang cinta dan takut Tuhan itu mendorong manusia bersyariat dan berakhlak sesame manusia seluruh makhluk Tuhan. Iaitu menjadi orang yang bertakwa.

Sekiranya kita tidak  mengenali Tuhan, bagaimana kita nak persembahkan hadiah seperti sembahyang, puasa, zakat, mengaji, dan ibadah-ibadah yang lain kepada Tuhan. Sedangkan kita belum cukup kenal denganNya.

Hak Sesama Muslim

Ada 6 Hak Sesama Muslim: Rasulullah Sallallahu Alayhi Wasallam bersabda: “Hak seorang muslim terhadap sesama muslim itu ada enam: 1. Jika ka...